fbpx

7,000 jururawat New York sertai mogok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peguam Negara New York, Letitia James bercakap semasa piket jururawat di luar Hospital Mount Sinai di Bandar Raya New York semalam. - John Angelillo/UPI

BANDAR RAYA NEW YORK – Lebih 7,000 jururawat hospital-hospital di Bandar Raya New York memulakan mogok kelmarin dengan sebilangan kakitangan berpiket di luar tempat mereka bekerja, lapor agensi berita United press International (UPI).

Mogok itu adalah anjuran Persatuan Jururawat Negeri New York (NYSNA), sebuah kesatuan yang mewakili lebih daripada 42,000 jururawat.

Mereka melakukan demonstrasi di luar empat hospital termasuk Hospital Mount Sinai di Madison and East 99th Street, Manhattan serta tiga kampus Pusat Perubatan Montefiore di Bronx.

NYSNA telah menerima sokongan bagi mengadakan mogok itu daripada pegawai bandar dan negeri termasuk Peguam Negara New York, Letitia James, Presiden Manhattan, Mark Levine dan Ahli Majlis Gale Brewer, demikian menurut satu siaran berita.

Gabenor New York, Kathy Hochul mengeluarkan kenyataan Ahad lalu bagi meminta ‘perjanjian buruh yang adil’ dengan jururawat-jururawat tersebut dan ‘memastikan mereka mempunyai persekitaran kerja yang selamat’.

“Selama beberapa minggu ini, kami telah bekerjasama bersama rakan-rakan kongsi di Bandar Raya New York untuk menjadi perantara perundingan antara jururawat dan hospital-hospital terjejas. Usaha kami telah mencapai kemajuan,” kata Hochul.

Menurut beliau, mogok telah berjaya dielakkan di pusat perubatan New York Presbyterian, Pusat Perubatan Universiti Richmond, Pusat Perubatan Maimonides dan Pusat Perubatan Hospital Flushing.

Piket juga pada asalnya dijadual berlaku di hospital Mount Sinai West dan Mount Sinai Morningside tetapi notis mogok itu telah dibatalkan oleh NYSNA selepas ia mencapai perjanjian tentatif yang tertakluk kepada ratifikasi, jelas kesatuan itu.

Perjanjian yang dicapai pada Ahad lalu termasuk kenaikan gaji sebanyak 19.1 peratus yang disahkan oleh Presbyterian New York dan Pusat Perubatan Maimonides. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI