fbpx

Kerajaan teliti cadangan hukuman gantian banduan akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kerajaan kini sedang melaksanakan inisiatif untuk meneliti dan mengkaji semula cadangan serta pandangan yang telah dikemukakan sebelum ini berkaitan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh berkata, ia termasuklah syor-syor Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan oleh mantan Ketua Hakim Negara, Tun Richard Malanjum, sesi libat urus dengan agensi kerajaan berkaitan serta pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Bagaimanapun, cadangan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori yang sedang diteliti hendaklah mengambil kira kedudukan semua pihak terlibat demi memastikan keadilan dapat ditegakkan serta kedaulatan undang-undang sentiasa diberi keutamaan.

“Sebarang cadangan dan input baharu daripada Masyarakat Sivil (Civil Society Organisation-CSO) serta NGO dan pihak-pihak berkepentingan mengenai isu ini sentiasa dialu-alukan agar proses pembaharuan undang-undang adalah telus dan holistik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan Presiden Majlis Peguam Malaysia, Karen Cheah agar kerajaan mengambil langkah sewajarnya supaya banduan hukuman mati seramai lebih kurang 1,327 orang dapat dikecualikan daripada hukuman mati selepas ia dimansuhkan.

Menurut beliau, proses tersebut perlu menitikberatkan aspek perundangan, oleh itu pindaan undang-undang yang berkaitan akan dimuktamadkan dengan segera memandangkan ia dijadualkan dibentang di Dewan Rakyat pada persidangan akan datang.

“Kerajaan Perpaduan sentiasa komited terhadap pemansuhan hukuman mati mandatori dan saya yakin penyelesaian yang terbaik akan dilaksanakan terhadap 1,327 orang banduan hukuman mati demi memastikan kepentingan semua pihak akan diambil kira,” tegas beliau.

Terdahulu, sebanyak tujuh rang undang-undang berkaitan pindaan akta-akta untuk pelaksanaan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori telah dibentangkan oleh mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) di Dewan Rakyat pada 6 Oktober 2022.

Sebarang pindaan bagaimanapun perlu dibentangkan semula ke sidang Parlimen yang akan datang disebabkan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI