fbpx

Zali Rusli bina nama sendiri, enggan dibayangi abang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZALI RUSLI

TIDAK pernah ada kenal erti putus asa dalam diri seorang anak muda bernama Zali Rusli meskipun percubaannya meluncurkan single perdana beberapa tahun lalu tidak membuahkan hasil untuk dibanggakan.

Kini meneruskan kemaraan dengan semangat baharu, Zali, 17, kembali dengan single berjudul Kamu Cantik Malam Ini yang dicipta bersama abang kandungnya juga penyanyi dan komposer berbakat besar, Haqiem Rusli.

Sering menyanyikan lagu ciptaan ‘anak-beranak’ dan jarang menyanyikan karya pencipta lain, penyanyi muda itu mengakui lebih selesa mendendangkan karya hasil ciptaan mereka sendiri dan perkara tersebut juga mendapat persetujuan daripada syarikat rakaman.

MAHU dikenali dengan bakat sendiri, Zali seboleh-bolehnya enggan dibayangi populariti Haqiem Rusli.

“Buat masa sekarang, saya rasa selesa menyanyikan lagu ciptaan kami dan mendapat persetujuan daripada pihak FMC Music. Namun jika diberi peluang, saya juga mahu menyanyikan lagu pencipta lain,” ujarnya.

Tambahnya, dia lebih selesa menyanyikan lagu ciptaannya bersama Haqiem dan yakin bahawa single kedua yang bergenre balada akan mudah diterima sekali gus lekat di hati pendengar.

“Jika dilihat situasi sekarang, ramai pendengar sukakan lagu-lagu jiwang dan balada seperti era 1990-an. Jadi saya rasa lagu ini memang bertepatan dengan konsep dan selera pendengar masa kini,” katanya.

Meskipun sering bekerjasama dengan abangnya sendiri, Zali tidak mahu terus dibayangi populariti Haqiem. Sebaliknya dia lebih selesa untuk berdiri atas bakat sendiri tanpa dikaitkan atau dibanding-bandingkan.

“Saya tak kisah jika orang tak kenal saya sebagai adik Haqiem Rusli. Saya lebih selesa untuk merangkak dan berdiri atas nama serta bakat sendiri.

“Saya ikhlas untuk berada dalam industri hiburan ini kerana minat. Jadi saya tidak mahu dibayangi atau dikatakan menumpang populariti abang,” tambahnya lagi.

TIDAK mengejar trend, Zali enggan menyanyikan semula lagu-lagu lama seperti dilakukan beberapa artis
lain ketika ini.

Pada masa sama, Zali juga mengakui dia tidak bercadang untuk mengikut jejak langkah beberapa penyanyi senior lain di bawah label FMC Music yang dinaunginya itu untuk merakamkan semula lagu popular lama.

“Saya yakin jika kita boleh mencipta satu karya baharu yang boleh dipopularkan dan masih menepati selera pendengar, kenapa nak bergantung pada lagu lama sahaja kan? Biarlah mereka sahaja buat, saya nanti dulu,” katanya.

Sementara itu, bercakap tentang proses pembikinan video muzik single keduanya, Zali mengakui sangat teruja apabila dapat bekerjasama dengan pelakon remaja sensasi, Qistina Raisah yang tidak pernah sunyi daripada dihimpit kontroversi.

“Ya, pada mulanya saya terkesima juga waktu jumpa Qistina Raisah. Dia bukan sahaja cantik, malah sangat peramah. Hati lelaki mana yang tak bergetar kalau jumpa wanita secantik Qis.

“Selalu saya tengok Qis dalam drama saja. Bila tengok di depan mata, terus terkedu. Jujur cakap, saya terpaut hati pada Qis tetapi apabila dapat tahu dia dah ada seseorang, saya pendam sajalah,” seloroh Zali.

Lagu Kamu Cantik Malam Ini telah pun dilancarkan menerusi semua platform digital, manakala video muzik rasmi boleh ditonton menerusi menerusi saluran YouTube FMC Music.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI