fbpx

Mahkamah: Petisyen Najib tidak jejas badan kehakiman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib.

PUTRAJAYA – Petisyen yang difailkan Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Kumpulan Kerja Penahanan Arbitari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWGAD) bagi meminta dibebaskan atau dibicarakan semula tidak menjejaskan badan kehakiman.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, berkata Najib mempunyai hak untuk meneliti pilihan lain atau memfailkan petisyen kepada mana-mana organisasi susulan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta terhadapnya.

Kata Tengku Maimun, Mahkamah Persekutuan selesai menjalankan tanggungjawab apabila mengekalkan sabitan dan hukuman berkenaan.

“Di peringkat kami, Najib boleh buat apa saja selepas kita (mahkamah) memberi keputusan. Itu hak beliau (fail petisyen) dan ia tidak memberi kesan (kepada badan kehakiman). Kami menjalankan tugas dan sudah selesai tanggungjawab selepas beri keputusan. Najib mahu meneroka perkara lain, ia tiada kaitan dengan kami, ” katanya pada sidang media selepas Pembukaan Tahun Perundangan 2023 di sini hari ini.

Minggu lalu Najib memfailkan petisyen kepada UNWGAD bagi meminta beliau dibebas atau dibicara semula dalam kes SRC International Sdn. Bhd.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib berkata anak guamnya memohon panel UNWGAD yang membabitkan lima pakar keadilan antarabangsa memutuskan bahawa penolakan rayuannya pada 23 Ogos tahun lalu, di Mahkamah Persekutuan adalah tidak adil, melanggar hak asasi manusia dan Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah Persekutuan juga didakwa gagal memberi peluang munasabah dan masa yang mencukupi kepada pasukan pembelaan Najib untuk berhujah mengenai kesnya.

Pada 23 Ogos tahun lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Panel lima hakim yang dipengerusikan Tengku Maimun, sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI