fbpx
Kelainan Pasar Haji Harun yang berstruktur kayu dan beratap zink menjadi tarikan di Manir, Terengganu.

Pasar Haji Harun bak pasar zaman dahulu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLASIK, tradisional dan mengimbau kenangan. Itu perasaan kebanyakan pelanggan apabila mengunjungi Pasar Pagi Kampung Kubang Lembek yang terletak di Manir, Kuala Terengganu.
Pasar pagi berusia hampir 50 tahun itu juga lebih dikenali sebagai Pasar Haji Harun dalam kalangan warga tempatan. Pasar tersebut yang terletak kira-kira 15 kilometer dari bandar raya Kuala Terengganu telah menjadi nadi ekonomi setempat yang masih menampilkan gaya hidup Melayu tradisional sebagaimana yang diamalkan sejak akhir 1970-an lagi.

Tidak seperti pasar tani atau pasar malam lain yang menggunakan payung atau khemah sebagai premis perniagaan, struktur Pasar Haji Harun dibina daripada kayu beratapkan zink dan terletak bersebelahan madrasah yang menjadi tempat mengajar mantan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Allahyarham Datuk Harun Taib.

Nama pasar itu juga sempena nama Allahyarham kerana kewujudannya sinonim dengan kuliah mingguan dhuha disampaikan tokoh agamawan serta figura politik terkenal tersebut.

Setiap hari Jumaat, pasar itu menjadi tumpuan orang ramai untuk membeli pelbagai barangan keperluan harian selepas mendengar kuliah mingguan dhuha yang disampaikan Allahyarham.

Kuliah mingguan setiap pagi Jumaat itu kekal dengan legasinya yang kini diambil alih anak Allahyarham iaitu Hilmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir.

Walaupun semakin banyak pasar yang lebih moden dibina di Terengganu, namun keunikan Pasar Haji Harun tetap menjadi tarikan kerana menawarkan pelbagai barangan yang lebih murah dan segar.

Seorang peniaga, Siti Ibrahim atau lebih mesra disapa Mok Su yang menjual nasi kerabu, nasi minyak dan sarok ikan atau ikan sumbat kukus berkata, pasar tersebut menjadi sumber rezekinya sejak 40 tahun lalu.

Pengunjung boleh membeli sayur-sayur kampung yang merupakan hasil tanaman penduduk setempat di Pasar Haji Harun.

Warga emas berusia 68 tahun tersebut memberitahu, dia menyediakan lebih 50 ekor sarok ikan setiap kali berniaga di pasar tersebut yang dibeli oleh kebanyakan pelanggan tetap yang sangat menyukai air tangannya itu.

“Tidak seperti nasi kerabu dan nasi minyak, ramai beritahu sarok ikan kini agak sukar dijumpai di tempat lain.

“Mok Su jual (sarok ikan) hanya RM2 seekor, tidak mahal kerana mahu berkongsi keberkatan rezeki pada hari Jumaat dengan penduduk sekitar kawasan ini,” katanya ketika ditemui Panorama baru-baru ini.

Selain Mok Su, terdapat antara 40 hingga 50 peniaga yang menjual sayur-sayuran, ulam-ulaman, hasil tani, hasil laut, ayam, daging, makanan tradisional serta pakaian di Pasar Haji Harun setiap hari Jumaat.

Seawal 7 pagi, peniaga kebanyakan penduduk tempatan mula berniaga dan pulang selepas berakhir kuliah mingguan dhuha antara pukul 11.30 pagi hingga 12 tengah hari.

Seorang lagi peniaga, Cihk Junus berkata, pasar itu menjadi sumber rezekinya mencari pendapatan dengan berniaga kuih-muih tradisional bagi menampung hidup sebagai ibu tunggal kepada dua anak.

“Dahulu, sekitar 1980-an, saya mengayuh basikal membawa anak yang masih kecil untuk menjual lepat ubi, jemput pisang, lepat pisang dan kuih-muih lain di sini.

“Kini, syukur sangat saya mampu datang berniaga di pasar ini dengan menaiki kereta yang dihantar anak. Saya juga pernah menunaikan umrah tiga beranak pada 2017 dan mampu memiliki rumah sendiri hasil berniaga kuih-muih di pasar ini,” katanya.

Sarok ikan air tangan Mok Su yang berharga RM2 menjadi antara makanan tradisional Terengganu yang dicari di Pasar Haji Harun.

Tambah Cihk, dia memperoleh pendapatan purata RM300 hasil berniaga di pasar itu setiap Jumaat, selain menghantar kuih di kedai-kedai makan pada hari-hari lain.

Pengunjung juga gemar ke Pasar Haji Harun bagi mendapatkan hasil tani segar yang dijual lebih murah.

Peniaga, Fatimah Awi, 66, berkata, dia menjual ubi badak pada harga RM8 sekilogram (kg), ubi keledek (RM6/kg), ubi itik (RM7/kg) dan sayur termasuk ulaman kampung seperti daun kesum, pucuk pegaga, nangka muda, bunga kantan dan lain-lain.

“Pelanggan kebanyakannya penduduk kampung juga yang tidak bergaji tetap. Jadi, kita jual murah sebab hendak cari rezeki sedikit, kebetulan banyak sayur dan ulam segar di belakang rumah.

“Saya juga menjual buah-buahan tempatan seperti rambutan, duku, sentul, setiar, rambai dan salak apabila tiba musimnya, katanya.

Seorang lagi peniaga, Wan Embut Wan Abdullah, 65, pula berkata, mereka menjual harga ‘anak beranak’ kerana kebanyakan mereka saling mengenali disebabkan hubungan erat terjalin sejak berpuluh tahun lalu.

“Segelintir pelanggan telah mengunjungi pasar ini sejak mereka masih kanak-kanak bersama ibu bapa masing-masing.

“Mereka sudah serasi dengan air tangan kami. Kadang-kadang pelanggan tidak mahu ambil wang baki untuk bersedekah, manakala kami pula beri barangan lain secara percuma dengan niat sama,” katanya.

Dia yang sudah 40 tahun berniaga di pasar itu berkata, suasana harmoni dan unik tersebut mengikat silaturahim erat antara peniaga dan pelanggan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN