fbpx

Diperkosa empat lelaki selepas berhibur di kelab malam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Selepas menyedari yang dirinya telah diperkosa empat lelaki itu, Zamri berasa sangat sedih dan berubah menjadi seorang yang amat gemar mengurung diri. – GAMBAR HIASAN

BERHIBUR pada malam minggu sudah menjadi kebiasaan buat Zamri (bukan nama sebenar) bersama rakan-rakan di kelab-kelab malam sekitar Kuala Lumpur.

Sejak berhijrah dari kampung halaman di Kota Bharu, Kelantan, kehidupan di ibu kota banyak mengubah dirinya yang dahulunya pemalu kepada seorang yang liar dan bersosial.

Dia masih teringat kali pertama menjejakkan kaki di sebuah kelab malam di Bukit Bintang, seolah satu dunia berbeza memberikan kejutan budaya buat dirinya.

“Saya dilahirkan dari keluarga yang sederhana dan kuat pegangan agama, oleh sebab itu apabila berkait dengan hiburan akses amat dihadkan.

“Sebelum pindah ke Kuala Lumpur, saya tidak pernah sekalipun menjejakkan kaki ke persembahan konsert apatah lagi ke kelab malam, namun apabila terdedah dengan kehidupan malam saya menyukainya,” katanya.

Tambahnya, kehidupannya di Kuala Lumpur menjadi lebih liar selepas berkenalan dengan rakan-rakan di pejabat yang juga kaki kelab malam.

Kehidupan tersebut berterusan sehingga beberapa tahun yang amat dirahsiakan daripada keluarga di kampung.

Zamri merupakan seorang lelaki yang berperwatakan lembut dengan kulit yang putih bersih, ada kalanya dia mendapat perhatian lelaki lain ketika di kelab.

Katanya, meskipun dia suka berhibur, dia tidak pernah terlintas mahu menarik perhatian lelaki untuk menyukainya, namun dia tetap melayan mereka jika ada yang menyapa.

Bagaimanapun, sikap itu mengundang padah buat dirinya dan turut menjadi memori hitam yang akhirnya mengubah dirinya 100 peratus.

Kejadian berlaku sekitar dua tahun lalu semasa Zamri dan rakan-rakan pergi ke sebuah kelab malam di Cheras, Kuala Lumpur.

Seperti biasa dia dan rakan-rakan ke sana dan menempah meja untuk mereka sambil menikmati irama muzik serta minuman alkohol.

“Pada malam itu saya didekati oleh seorang lelaki, dia mengajak saya menari dan belanja minuman.

“Katanya dia datang bersama tiga orang lagi rakan dan memperkenalkan saya kepada mereka. Awalnya tiada apa yang mencurigakan, namun malam itu saya merasakan keadaan saya lebih mabuk berbanding biasa,” ujarnya.

Malam itu, Zamri memberitahu dia tidak pulang bersama rakan-rakan kerana mengikuti lelaki tersebut untuk terus berhibur di kelab malam berkenaan.

Kongsi Zamri lagi, dia tidak mengingati banyak perkara yang berlaku malam itu, tetapi dalam kesamaran dia menyedari malam itu dia dibawa ke sebuah hotel dekat Bukit Bintang.

Dalam keadaan mabuk, Zamri hanya mampu merasakan dia pada malam itu diperkosa oleh lelaki berkenaan dan rakan-rakannya secara bergilir.

“Saya tidak berdaya melawan pada malam itu kerana sangat mabuk, baju saya dikoyak dan apa yang berlaku seterusnya amat mengerikan.

“Lebih menyedihkan apabila saya sedar keesokan harinya, keempat-empat lelaki berkenaan menggelakkan saya dan mengatakan perkara yang menjijikkan. Saya hanya mampu menangis dan berlari keluar bilik dengan baju yang koyak rabak,” katanya.

Sejak kejadian itu, kehidupan Zamri menjadi kelam, dia trauma dengan insiden terbabit dan sering dihantui dengan apa yang berlaku.

Perkara itu membuatkan Zamri tidak boleh fokus bekerja, prestasinya merosot sehingga hampir dibuang kerja.

Zamri juga lebih memilih untuk menyendiri, mengurungkan diri di dalam bilik selepas pulang kerja atau semasa cuti.

“Pada satu tahap saya rasa mahu bunuh diri, saya menangis setiap malam, macam-macam perasaan yang dialami.

“Sampai suatu hari, saya memutuskan untuk berhenti kerja dan pulang ke kampung halaman dan itu keputusan terbaik yang saya lakukan,” ujarnya.

Kepulangan di kampung, merubah segalanya, kata Zamri, ibu bapanya menyedari perubahan yang berlaku kepada dirinya dan memintanya untuk berterus-terang.

Dengan berat hati, Zamri menceritakan semuanya, dia takut keluarganya akan kecewa, tetapi mereka sebaliknya menerima berita itu dengan tenang.

“Ibu ayah banyak memberikan semangat. Mereka juga membawa membawa saya berjumpa pakar psikatri dan mendapatkan pengadilan atas apa yang berlaku.

“Insiden yang berlaku sudah menjadi kes polis dan keempat-empat lelaki berkenaan sudah dibawa ke muka pengadilan,” kongsinya.

Kata Zamri lagi, kini keadaan hidupnya sudah bertambah baik. Dia juga memilih untuk menetap di kampung dan menjalani kehidupan di sana.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI