fbpx
Suami Nadia dicekup berkhalwat dengan wanita yang lebih muda oleh pihak berkuasa di rumah wanita tersebut. – GAMBAR HIASAN

Dari Mahkamah Syariah: Suami usahawan ditangkap khalwat di rumah wanita muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERKENALAN atas urusan kerja telah menimbulkan bibit-bibit percintaan dalam diri seorang wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Nadia dengan lelaki idamannya, Hisyam.

Mereka berdua mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga setelah hanya empat bulan bercinta.

“Selepas berkahwin, kewangan kami tidak seberapa, suami saya cuma bekerja sebagai budak pejabat.

“Bagi mengubah nasib keluarga, saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan mengusahakan perniagaan sendiri,” kata Nadia yang kini berusia awal 40-an ketika mengimbas detik perkahwinannya bersama Hisyam sewaktu sama-sama muda.

Cerita Nadia, nasib menyebelahi Nadia apabila perniagaan yang diusahakannya itu berkembang maju tahun demi tahun.

Melalui perniagaannya itu, dia kemudian mampu memberi kemewahan kepada keluarga termasuk suaminya.

Malah, Nadia merasakan dirinya wanita yang bertuah kerana mempunyai kehidupan yang baik termasuk suami yang penyayang dan anak-anak yang comel.

Namun, semua itu tidak kekal lama apabila dia mendapati suaminya itu berlaku curang kepadanya.

“Semuanya terkantoi apabila saya melihat perbualannya yang begitu mesra bersama wanita lain di telefon pintarnya yang terlupa dipadam.

“Suami saya menyatakan dia hanya suka-suka berkenalan dengan wanita di aplikasi teman sosial bagi menghilangkan rasa bosan,” jelasnya.

Tambahnya, suaminya itu menyalahkan Nadia kerana terlalu sibuk dengan perniagaan sehingga kurang melayaninya.

Suaminya itu, berjanji kepada Nadia untuk tidak melakukan hal seperti itu lagi di belakangnya.

Nadia berasa kasihan dan memberi peluang kepada suaminya itu demi rumah tangga mereka.

Dalam pada itu, Nadia turut mengakui dia telah banyak menyara suaminya itu dan memberi segala kemewahan yang dimahukan oleh lelaki tersebut.

Malah, suaminya itu turut berhenti kerja sebagai budak pejabat dan tidak melakukan sebarang kerja. Cuma sesekali dia membantu Nadia dalam perniagaan.

“Saya memberikannya sebuah kereta mewah dan motosikal berkuasa besar sebagai tanda kasih dan sayang kepadanya.

“Malah, saya turut memberi belanja bulanan kepadanya,” jelasnya.

Nadia mengakui disebabkan sibuk menguruskan perniagaan, dia tidak mempunyai masa untuk memantau suaminya itu selepas kejadian itu.

Nadia mengharapkan suaminya itu telah insaf dan berubah. Dia memberi sepenuh kepercayaan kepadanya.

Namun ternyata sebaliknya, suaminya masih menjalinkan hubungan dengan wanita lain di belakangnya.

“Semuanya terbongkar setelah suami saya telah ditangkap khalwat dengan seorang wanita lebih muda di sebuah rumah. Lokasi mereka ditangkap berkhalwat itu adalah rumah milik perempuan tersebut dan sukar untuk diluahkan dengan kata-kata perasaan saya ketika itu,” ulasnya.

Tambahnya, dia merasakan seperti dikhianati oleh suaminya itu dan tidak boleh memaafkan akan hal tersebut.

Setelah kejadian tersebut, suaminya sekali lagi merayu memohon maaf kepada Nadia dan memintanya untuk diberi kesempatan kali kedua.

Memikirkan akan hal itu membuat Nadia terganggu dan sakit hati. Dia sendiri tidak boleh fokus untuk menguruskan perniagaan.

Setelah berfikir panjang, Nadia akhirnya mengambil keputusan untuk menuntut fasakh daripada suaminya. Akhirnya mereka berdua sah berpisah di sebuah mahkamah syariah di sebuah negeri di utara Semenanjung beberapa tahun lalu.

Bagi Nadia, itulah pilihan terbaik kerana tidak sanggup lagi bersama dengan orang yang telah mengkhianati kepercayaan diberikan olehnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN