fbpx

Presiden FAM serah jersi Harimau Malaya nombor 10 kepada PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAMIDIN (kanan) menghadiahkan jersi skuad Harimau Malaya kepada Anwar sempena kunjungan hormat di Bangunan Perdana Putra Putrajaya hari ini. - FB FAM

PUTRAJAYA – Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini.

Dalam pertemuan selama sejam itu, Hamidin berkongsi agenda terkini hala tuju industri bola sepak tempatan terutama persiapan skuad Harimau Malaya yang akan berdepan perlawanan separuh akhir pertama menentang Thailand malam esok di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Hamidin juga memaklumkan persiapan skuad kebangsaan untuk menghadapi Piala Asia pada Januari 2024, yang mana Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon layak secara merit selepas tempoh 43 tahun, Jun tahun lalu.

“Saya juga menzahirkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Datuk Seri Anwar atas kesudian Perdana Menteri meluangkan masa membincangkan beberapa agenda penting bola sepak negara terutama perlawanan utama membabitkan skuad kebangsaan, Harimau Malaya.

“Pertemuan ini amat bermakna bagi kami dalam merencana hala tuju masa depan bola sepak negara terutama menjelang perlawanan penting Harimau Malaya, esok.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada YAB Datuk Seri Anwar, kerana memberi saya ruang berkongsi visi dan misi FAM, F:30 serta perkembangan pembinaan ibu pejabat baharu FAM dan pusat latihan kebangsaan di Putrajaya,” kata Hamidin yang turut menghadiahkan jersi Harimau Malaya bernombor 10 kepada Anwar.

Hamidin juga berbesar hati dengan Datuk Seri Anwar yang pernah menyandang jawatan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada 1983, menyuarakan sokongan padu beliau buat bola sepak negara.

Hamidin diiringi Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman turut memaklumkan mengenai perkembangan terkini bola sepak wanita, futsal, bola sepak pantai dan pembangunan pengadil. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI