fbpx

Rugi lebih RM400,000, stor simpan barang, stok niaga terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Khairul menunjukkan stok daging sejuk beku mencecah 10 tan musnah terbakar dalam kejadian kebakaran di Kampung Chembong. - Foto NOR AINNA HAMZAH

REMBAU – Dugaan buat pemilik NKA Frozen apabila stor menyimpan barang serta stok perniagaannya musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Chembong, di sini, malam tadi.

Mangsa, Mohd. Khairul Azman, 36, berkata, perniagaan diusahakan sejak tujuh tahun lalu itu mulai berkembang, malah kira-kira dua tahun lalu semasa perintah kawalan pergerakan (PKP), mereka mampu menyediakan sebuah stor penyimpanan stok daging dan kini mencecah 10 tan.

Bagaimanapun menurutnya, dugaan besar terpaksa dihadapi apabila premis berkenaan terbakar sehingga kerugian mencecah lebih RM400,000.

“Saya harap dapat bantuan mana-mana, dapat saya teruskan perniagaan ini, tak banyak sedikit pun jadi untuk saya teruskan perniagaan ini di masa-masa akan datang.

“Bilik stor ini, kami guna peruntukan sendiri dan segalanya di dalam stor ini iaitu 10 tan daging sejuk beku bernilai lebih RM100,000, pelbagai jenis mesin serta peti sejuk musnah sepenuhnya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, tadi.

Ujar Mohd. Khairul, dia mengetahui kejadian berkenaan dari panggilan talefon jiran yang tinggal berdekatan dengan stor berkenaan pada waktu hampir azan Maghrib.

Menurutnya, jirannya itu curiga apabila lampunya berkelip-kelip dan sebaik menjenguk ke luar didapati terdapat percikan api dari stor menyimpan barang serta stok niaga.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Penolong Penguasa Bomba (PPgB), Mohd Zulfadzli Osman berkata, pihakya mendapat panggilan pada pukul 7.23 petang dan sepasukan bomba dikejarkan ke lokasi kejadian serta bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Kota.

Menurutnya, kebakaran dipercayai bermula dari bilik sejuk beku dan malangnya berlaku api ulangan dan merebak ke stor-stor lain dengan keluasan keseluruhan 150 x 30 kaki persegi.

“Bagaimanapun, punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI