fbpx

Penganggur bawa anak OKU merompak dijel lima tahun, tiga sebat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh diiringi anggota polis selepas dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

MELAKA – Perbuatan seorang penganggur sanggup membawa anaknya orang kurang upaya (OKU) lembam merompak sebuah premis serbaneka 24 jam membawa padah selepas dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Ismail Noordin, 32, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah melakukan rompakan bersenjatakan pisau dan melarikan dua kotak rokok serta wang tunai RM177 milik sebuah kedai serbaneka 24 jam kira-kira pukul 1.20 tengah hari di Taman Sutera, Batu Berendam, dalam daerah Melaka Tengah, pada 23 Disember lalu.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda dan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman ringan dengan alasan telah insaf, selain perlu menanggung isteri dan tiga orang anak.

Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari bagaimanapun memohon agar hukuman berat dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan terhadap tertuduh.

Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Majistret, tertuduh turut mengaku salah di hadapan Majistret Nabilah Nizam atas pertuduhan mencuri tiga bentuk cincin emas 916 milik Rositah Salleh, 54, kira-kira pukul 5 petang di kaki lima CIMB Bank, Kota Laksamana pada 12 Disember lalu.

Bagi perbuatan itu dia dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Kosmo! pada 25 Disember lalu melaporkan seorang lelaki sanggup ‘mengheret’ anak OKU lelakinya untuk merompak sebuah kedai serbaneka di sini.

Kejadian dilaporkan oleh pekerja wanita di premis terbabit di Taman Sutera, Batu Berendam memaklumkan telah disamun lelaki bersenjata pisau dan membawa seorang kanak-kanak.

Hasil soal siasat, kanak-kanak dibawa suspek adalah anaknya dan merupakan OKU lembam.

Suspek dipercayai mempergunakan anaknya untuk mengaburi kegiatan jenayahnya dan mendakwa mempunyai isteri yang berniaga kerepek.  – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI