fbpx

Mahkamah: Nelayan didakwa henyak muka isteri kerana duit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh diringi anggota polis selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencengkam dan menekan penumbuk di muka isterinya, tahun lalu. - Foto SYAFEEQ AHMAD

MELAKA – Kerana wang, seorang nelayan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencengkam dan menghenyak muka isterinya dengan penumbuk sehingga cedera, pada tahun lalu.

Tertuduh, Jason Pereira, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja menyebabkan kecederaan kepada isterinya Sathi Anak Uncha, 48, dengan cara mencengkam bahagian muka dan menekan penumbuk di mulut mangsa.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 8.40 malam di sebuah rumah di Kampung Portugis, Ujong Pasir dalam daerah Melaka Tengah pada 10 Januari 2022.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa telah melakukan khianat terhadap kerusi kayu sehingga patah dengan niat untuk menyebabkan kerosakan kepada harta bernilai RM50 pada waktu, tempat dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Difahamkan, tertuduh bertindak sedemikian selepas bertengkar dengan mangsa membabitkan masalah wang.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan, J. Banusha mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 beserta syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mendekati atau menganggu saksi dan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar jaminan rendah dapat diberikan dengan alasan dia hanya bekerja sebagai nelayan dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, Mazana kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan.

Beliau menetapkan tarikh 13 Febuari ini bagi lantikan peguam dan serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI