fbpx

Mahkamah: Najib fail petisyen mohon dibebas atau dibicara semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, memfailkan petisyen kepada Kumpulan Kerja Penahanan Arbitari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWGAD) bagi meminta beliau dibebas atau dibicara semula dalam kes SRC International Sdn. Bhd.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib berkata anak guamnya memohon panel UNWGAD yang membabitkan lima pakar keadilan antarabangsa memutuskan bahawa penolakan rayuannya pada 23 Ogos tahun lalu, di Mahkamah Persekutuan adalah tidak adil, melanggar hak asasi manusia dan Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah Persekutuan juga didakwa gagal memberi peluang munasabah dan masa yang mencukupi kepada pasukan pembelaan Najib untuk berhujah mengenai kesnya.

“Mahkamah itu tidak membenarkan pembelaan untuk berhujah dalam rayuan terhadap hukuman penjara 12 tahun. Pada dasarnya, Najib dihantar ke penjara tanpa diberi peluang membela diri di Mahkamah Persekutuan.

“Beberapa hari terakhir untuk rayuan pada Ogos lalu membawa kepada ‘keadilan tergesa-gesa’ apabila peguam baharu dilantik (Datuk Mohd. Zaid Ibrahim) tidak diberikan masa yang jelas untuk membaca berpuluh ribu muka dokumen rayuan atau untuk melihat 94 alasan rayuan difailkan peguam sebelum ini,” kata peguam itu dalam sidang media di pejabatnya, di Bukit Tunku di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Shafee berkata UNWGAD yang akan meneliti rayuan itu terdiri daripada lima hakim hak asasi manusia yang terkenal.

“Jika tidak adil, Najib boleh meminta kerajaan membebaskannya atau memberi perbicaraan semula. Walaupun keputusan ini tidak menjejaskan secara langsung, ia amat memberi impak kerana Malaysia mempunyai ahli perundangan yang terkenal dan kini menjadi ahli kumpulan kerja berkaitan,” katanya lagi.

Untuk rekod, pada 23 Ogos tahun lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Panel lima hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI