fbpx

Sindiket edar cecair ganja bernilai RM77,140 tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara barang yang dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Klang Lama, semalam.

KUALA LUMPUR – Empat lelaki terdiri daripada ahli sindiket menjual ganja dalam bentuk cecair rokok elektronik atau ‘vape’ berputih mata selepas ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Klang Lama, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, serbuan pertama dilakukan sekitar pukul 9.45 malam oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Brickfields.

Katanya, serbuan di premis terbabit, menemukan ganja seberat 494 gram (g) dan cecair ganja seberat 3,496 milimeter (ml).

“Ujian saringan air kencing mendapati tiga suspek positif ganja dan seorang lagi positif methamphetamine.

“Sindiket memproses cecair ganja berkenaan dijadikan cecair untuk vape berperisa ganja dan dijual dalam botol bersaiz 5ml dengan harga RM60 sebotol,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Amihizam, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 2,242 penagih dan suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama tujuh hari sehingga Selasa hadapan.

Dalam pada itu, Amihizam berkata, hasil soal siasat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, pihaknya berjaya menahan tujuh lagi suspek dalam serbuan kedua di sekitar ibu negara.

“Hasil ujian saringan awal urin terhadap semua suspek berkenaan mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis kanabis (THC), methamphetamine, dan amphetamine.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti saki-baki sindiket, modus operandi dan dari mana sumber bekalan dadah berkenaan diperoleh,” katanya.

Ekoran penangkapan tujuh lagi suspek, kesemua mereka terdiri dari lelaki tempatan berusia 19 hingga 28 tahun direman dari dua ke tujuh hari bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI