‘RAJA Pele Abadi’. Itulah kata-kata yang tertera pada sepanduk yang dipegang oleh peminat legenda bola sepak, Pele di luar Hospital Albert Einstein di Sao Paulo, Brazil.
Di luar hospital tersebut juga penuh dengan peminat-peminat yang menyarung baju jersi bernombor 10 yang dipakai Pele ketika bermain bola sepak untuk kelab Santos.
Mereka berkumpul di luar hospital tersebut setelah mendengar berita bahawa Pele meninggal dunia.
Jumaat lalu, ikon bola sepak Brazil dan juga pemain terhebat sepanjang zaman, Pele telah menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 82 tahun.
“Semua yang kami boleh ungkapkan kepada anda adalah terima kasih. Kami menyayangi anda tidak terhingga. Berehatlah dengan tenang,” tulis anak perempuan Pele, Kely Nascimento di
Instagram setelah kehilangan bapa tercinta.
Beberapa bintang bola sepak dunia yang lain turut memberi ucapan atas pemergian legenda tersebut.
Bintang Brazil, Neymar berkata, Pele telah mengubah bola sepak menjadi seni, manakala jaguh Perancis, Kylian Mbappe menulis: ‘Raja Bola Sepak telah tinggalkan kita tetapi legasinya tidak akan pernah dilupakan’ di Instagram Mbappe.
Menurut Hospital Albert Einstein yang merawat Pele, kematian Pele itu setelah sekian lama bertarung dengan kanser yang telah menyebabkan ‘kegagalan pelbagai organ’.
Kesihatan Pele semakin merosot selepas dirinya bertarung dengan masalah buah pinggang serta kanser kolon. Mendiang telah menjalani pembedahan terakhir pada September 2021 diikuti dengan rawatan kemoterapi.
Di arena bola sepak, nama empat huruf itu begitu unggul dan Pele diingati sebagai satu-satunya pemain bola sepak yang berjaya merangkul tiga trofi Piala Dunia iaitu pada tahun 1958, 1962 dan 1970.
Menyorot sejarah hidupnya, Pele atau nama sebenarnya Edson Arantes do Nascimento dilahirkan pada 23 Oktober 1940, di bandar tenggara Tres Coracoes, Brazil. Ibu bapanya memberi nama itu kepadanya sempena nama pencipta lampu Amerika, Thomas Edison.

Bapanya juga merupakan seorang pemain bola sepak untuk kelab kecil. Dia diberi nama panggilan Pele semasa kecil selepas Pele dikatakan sering salah menyebut nama seorang rakan sepasukan bola sepak bapanya, Bile, tetapi dia salah menyebutnya dengan bunyi Pele sehingga dirinya diajuk Pele oleh kawan-kawannya sejak kecil.
Ketika kecil, Pele belajar bermain bola sepak menggunakan stoking yang disumbat dengan surat khabar untuk dijadikan bola kerana dilahirkan dalam keluarga miskin.
Pele menyertai kelab bola sepak Santos di Brazil pada tahun 1956 seawal usia 15 tahun dan bertindak sebagai penyerang.
Malah, dia membuat penampilan sulung di peringkat antarabangsa pada tahun 1957 hanya setahun selepas menyertai Santos dan bermain di Piala Dunia pertamanya pada tahun berikutnya iaitu pada usia 17 tahun.
Dia menjadi pemain termuda di kejohanan Piala Dunia pada waktu itu dan melakukan hatrik pada separuh akhir menentang Perancis dan menjaringkan dua gol dalam perlawanan akhir menentang tuan rumah kejohanan, Sweden pada 1958.
Pada kejohanan Piala Dunia 1962, Pele terpaksa diketepikan selepas perlawanan kedua setelah mengalami kecederaan otot terkoyak. Namun, pasukannya berjaya merangkul kejuaraan pada tahun tersebut.
Pele mempertimbangkan untuk bersara bermain di peringkat antarabangsa, tetapi dia kembali dengan kejayaan pada tahun 1970 dengan memenangi Piala Dunia sekali lagi.
Dia menutup karier Piala Dunia itu dengan menjaringkan 12 gol dalam 14 perlawanan dan kekal sebagai satu-satunya pemain yang memenangi trofi itu sebanyak tiga kali.
Pele kemudiannya bersara dari Santos pada 1974 selepas menjaringkan 643 gol dalam 659 perlawanan.
Namun, dia dipujuk keluar daripada persaraan setahun kemudian untuk menyertai pasukan keduanya iaitu New York Cosmos. Pada usia 34 tahun, Pele menandatangani perjanjian tiga tahun bernilai AS$7 juta (RM30 juta) untuk menyertai pasukan yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu.
Malah, The New York Times melaporkan dia menjadi atlet dengan bayaran tertinggi di dunia ketika itu.
Pele adalah seorang pemain bola sepak yang menghabiskan seluruh kariernya di benua Amerika dan tidak pernah berkelana ke Eropah walaupun mendapat tawaran kelab-kelab besar.
Malah menurutnya, ada banyak momen ketika dia hampir menandatangani kontrak dengan Real Madrid dan Napoli.
Namun, Pele menyatakan dirinya sama sekali tidak menyesal kerana telah menolak tawaran kelab gergasi Eropah. Baginya, Santos adalah salah satu sumber semangat hidup terbesarnya.
“Saya tidak bermain di luar Brazil kerana saya sangat bahagia di Santos dan menjalani 15 hingga 20 tahun terbaik dalam hidup di sana.
“Saya banyak menerima tawaran lain tidak hanya dari Real Madrid, tetapi saya baik-baik sahaja di mana saya berada,” katanya.
Malah, presiden Brazil ketika itu, Janio Quadros pada tahun 1961 mengisytiharkan Pele sebagai khazanah negara sekali gus bermakna selama bertahun-tahun dia tidak boleh ‘dieksport’ bermain untuk kelab di luar negara.
Di negara di mana perkauman masih begitu dominan, Pele seorang pemain bola sepak kulit hitam dari latar belakang keluarga miskin telah mencipta kejayaan yang luar biasa.
Pele juga dinobat sebagai atlet terbaik abad ke-20 oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada 1999.
Pele juga menggunakan platformnya sebagai legenda bola sepak untuk menyokong kerja amal dan cuba memperbaiki kehidupan golongan miskin Brazil.
Malah, dia juga menjadi duta global UNESCO.
Pada 1995, Presiden Brazil, Fernando Henrique Cardoso telah melantik Pele sebagai Menteri Sukan.
Semasa berkhidmat selama tiga tahun, Pele melaksanakan ‘undang-undang Pele’ yang memodenkan industri sukan negara itu.
Rang undang-undang itu memberi mandat kepada semua kelab sukan profesional tempatan untuk membayar cukai dalam tempoh dua tahun dan membebaskan atlet remaja daripada kontrak yang ditandatangani dengan kelab mereka pada usia muda.














