fbpx

Jangan putar belit kenyataan saya – Neelofa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NEELOFA

PETALING JAYA – Susulan pesanan berbaur sensasi ‘melancong untuk melihat dunia atau dunia melihat anda’, selebriti terkenal, Neelofa memohon netizen supaya menghentikan salah faham atau mengapi-apikan kenyataan sedemikian sebagai satu bentuk sindiran kepada individu yang melancong ke luar negara yang gemar berkongsi momen percutian asing-masing dalam media sosial.

Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam InstaStory miliknya, Neelofa atau nama lengkapnya Noor Neelofa Mohd. Noor, 34, menjelaskan, dia hanya berkongsi pandangan tentang sikap sesetengah orang yang pergi melancong semata-mata untuk dijadikan kandungan dalam media sosial.

“Bukan saya larang untuk berkongsi dalam media sosial. Maksud saya ditujukan kepada sesetengah orang yang melancong hanya bertujuan untuk membuat kandungan media sosial sahaja.

“Ada yang sehingga buat persediaan dari sini (Malaysia) semata-mata untuk buat kandungan ,media sosial.

“Malah, ada yang merakam momen percutian mereka semata-mata untuk kandungan dalam media sosial, sedangkan pada ketika itu, dia diberi peluang berseronok dan mencipta kenangan,” tuturnya.

Dalam pada itu, pengacara Next To Neelofa itu turut mengingatkan supaya masyarakat tidak tersalah tafsir dengan apa yang dikongsikan, selain kenyataan itu tidak ditujukan kepada mana-mana pihak.

Dalam pada itu, Neelofa turut mengakui dirinya akan melakukan hal serupa jika bercuti ke mana sahaja seperti berkongsi gambar atau video dalam media sosial, namun mahu mengubah tabiat tersebut.

“Ada beberapa situasi berbeza contohnya ada orang pergi atas rezeki dan ada yang pergi atas tuntutan kerja.

“Contohnya yang pergi melancong sendiri itu jangan salah faham. Tolonglah buat video dan ambil gambar banyak-banyak untuk kongsikan.

“Saya juga akan buat perkara sama seperti memuat naik dalam media sosial tetapi sebagai seorang yang banyak kali diberi peluang melancong dulu, perkara yang saya ingin ubah adalah lebih menikmati atau menghargai momen tersebut,” kata usahawan itu.

Tambah isteri kepada pendakwah bebas Haris Ismail itu meminta media dan netizen tidak memutarbelikan keadaan dengan andaian sendiri sehingga melibatkan nama selebriti lain.

“Saya baru perasan ada segelintir salah faham tentang apa yang saya ingin sampaikan dan ada juga media menulis artikel sehingga cuba memasukkan kefahaman berbeza.

“Kepada media, jangan putar belit apa yang saya cakap sehingga menyebabkan ramai orang fitnah dan salah sangka.

“Buat orang yang mengapi-apikan, berhentilah. Saya tiada niat untuk tujukan kepada sesiapa,” ujarnya.

Terdahulu, ramai netizen mengaitkan Neelofa mengenai perkongsian momen percutian Fazura bersama keluarga yang baru pulang dari Amsterdam.

Sementara itu, menerusi perkongsian Instagram Fazura, ramai peminat memuji pendekatan pelakon itu yang menulis status tanpa cuba menyakiti mana-mana pihak.

Menerusi ruangan komen, netizen mula membuat perbandingan dan berdebat mengenai nilai kematangan dua selebriti usahawan berjaya itu.

“Sudah 2023 masih mahu kaitkan isu Neelofa dan Fazura. Sesetengah netizen memang tidak boleh berhenti mengaitkan mereka berdua.

“Entah-entah dia tidak tujukan kepada Fazura. Netizen sahaja yang lebih-lebih sehingga menjadi batu api,” luah netizen terhadap isu berkaitan dua selebriti itu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI