fbpx

Janda anak tiga terlibat sindiket edar dadah dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Soffian (dua dari kanan) ketika sidang akhbar tangkapan sindiket pengedaran dadah di IPD Timur Laut, George Town, hari ini. IQBAL HAMDAN

GEORGE TOWN – Tiga suspek termasuk seorang janda anak tiga ditahan polis minggu lalu dalam beberapa serbuan berasingan di daerah Timur Laut selepas disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah di sekitar Tanjong Tokong dan Gelugor sejak Julai tahun lalu.

Selain penahanan suspek-suspek terbabit, polis turut merampas pelbagai jenis dadah seberat kira-kira 7.18 kilogram bernilai RM36,162 dalam serbuan yang dilaksanakan pada 29 hingga 30 Disember tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, suspek pertama yang bekerja sebagai juruteknik pemasangan talian Internet ditahan pada 29 Disember lalu di Jalan Sultan Azlan Shah, Gelugor kira-kira pukul 12.50 tengah hari.

“Suspek berusia 34 tahun yang menaiki kereta jenis Perodua Myvi cuba melarikan diri ketika polis mahu menjalankan pemeriksaan terhadapnya dan dia enggan memberikan kerjasama.

“Lelaki itu bertindak memecut laju kereta sebelum melanggar sebuah lori yang berada di kawasan tersebut sekitar lima hingga 10 meter,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini hari ini.

Menurut Soffian, menerusi pemeriksaan lanjut di dalam kereta suspek, pihak polis merampas tiga paket plastik yang berisi dadah jenis heroin seberat 1.37 kilogram.

Mengulas lanjut, Soffian berkata, susulan penahanan suspek pertama, polis menahan suspek kedua yang merupakan seorang lelaki berusia 44 tahun di tepi jalan Jalan Perusahaan, Seberang Perai.

“Suspek kedua yang bekerja sebagai pengawal keselamatan ini ditahan pada 29 Disember, kira-kira pukul 7.15 petang. Susulan daripada penahanan kedua-dua suspek ini, polis menyerbu sebuah rumah flat di kawasan Tanjung Bungah pada pukul 1 pagi, 30 Disember lalu dan menahan seorang wanita berusia 30 tahun.

“Di rumah wanita ini, polis merampas enam ketulan mampat dadah disyaki ganja dengan anggaran berat 5,700 gram.

“Hasil risikan mendapat sindiket ini aktif mengedar dadah di Tanjung Tokong dan Gelugor sejak Julai tahun lalu dan bekalan dadah ini diperoleh daripada suspek kedua,” katanya.

Soffian berkata, hasil saringan air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah manakala hanya dua suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah serta jenayah.

“Kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI