fbpx

Wanita tunggang motosikal lawan arus maut dirempuh kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan mangsa selepas dirempuh sebuah kereta di Jalan Tuan Guru Nik Abdul Aziz berhampiran jambatan Bunut Payong, Kota Bharu semalam. FOTO IHSAN POLIS

KOTA BHARU – Seorang wanita maut selepas motosikal yang ditunggangnya secara melawan arus dirempuh sebuah kereta di bahu Jalan Tuan Guru Nik Abdul Aziz berhampiran jambatan Bunut Payong di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.10 malam itu, mangsa, Suriani Che Mohamal, 40, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas cedera parah pada kepala akibat tidak memakai topi keledar.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikal jenis Honda Dash 125 sedang dalam perjalanan dari arah Wakaf Che Yeh ke Bunut Payong melalui kawasan bahu jalan dengan melawan arus.

Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Kia Spectra yang dipandu seorang lelaki 23 tahun berada di laluan Bunut Payong ke Wakaf Che Yeh bergerak rapat pada bahu jalan sebelah laluan kiri.

“Keadaan jalan gelap yang tidak berlampu selain jarak terlalu dekat mengakibatkan kereta terbabit gagal mengelak sebelum merempuh motosikal mangsa.

“Insiden itu menyebabkan motosikal mangsa tercampak ke bahu jalan dan terjatuh ke dalam gaung jalan sebelah kiri laluan kereta,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Rosdi memberitahu, wanita itu mengalami pendarahan teruk pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini untuk dibedah siasat.

“Siasatan lanjut mendapati, kemalangan berpunca daripada kecuaian wanita itu yang menunggang motosikal secara melawan arus,” katanya.

Tambah Mohd. Rosdi, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI