fbpx

Tanah runtuh: 25 kaunselor bantu pulih emosi warga SJKC Mun Choong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hui Ying (dua dari kiri), membuat lawatan ke SJKC Mun Choong, Kuala Lumpur hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Seramai 25 orang kaunselor telah ditugaskan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong di sini hari ini bagi membantu memulihkan emosi warga sekolah yang terkesan dengan tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali, 16 Disember lalu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, 25 kaunselor tersebut dibahagikan kepada empat kelas untuk menjalankan tugas bimbingan masing-masing.

“Empat kelas yang dikenal pasti itu merupakan murid-murid yang diajar oleh enam guru yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh itu.

“Bantuan dan bimbingan kaunselor ini juga bertujuan memastikan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah dapat berjalan seperti biasa menjelang sesi persekolahan 2023 ini,” katanya kepada pemberita selepas selesai membuat lawatan ke SJKC Mun Choong pagi tadi.

Tambah beliau lagi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa terbuka untuk menerima segala permohonan bantuan sama ada dari segi bimbingan mahupun kewangan daripada pihak SJKC Mun Choong dalam menampung keperluan semasa sekolah.

“Setakat ini, KPM dan SJKC Mun Choong mempunyai hubungan rapat dan apa-apa keperluan dari segi bimbingan, kewangan daripada guru besar sekolah, kita (KPM) akan berikan sebaik mungkin bantuan,” ujarnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seramai 92 mangsa terlibat dalam insiden tanah runtuh di Batang Kali yang mengorbankan 31 nyawa, manakala 61 orang terselamat.

Daripada jumlah tersebut 26 orang peserta perkhemahan dari SJKC Mun Choong dan hanya enam daripadanya adalah guru, selebihnya merupakan ahli keluarga, kenalan, pengusaha kantin serta pekerja.

Dalam perkembangan lain, Hui Ying yang juga Ahli Parlimen Tanjong berkata, KPM akan mengadakan perbincangan bersama dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bagi mengenal pasti solusi berkaitan isu kenaikkan harga tambang bas sekolah.

“Saya akan berbincang terlebih dahulu dengan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan kemudian kita (KPM) pasti akan berbincang pula dengan Menteri Pengangkutan untuk melihat bagaimana menangani perkara ini (isu kenaikkan harga tambang bas sekolah).

“Buat sementara, kita mesti buat rundingan untuk untuk tahu lebih,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI