fbpx

Polis terima tujuh laporan kes kebakaran Jakel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dari kiri : Nor Fuad dan Mohd. Iqbal meninjau lokasi kebakaran bangunan Wisma Jakel Seksyen 7 di sini. -Foto oleh AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Sebanyak tujuh laporan polis diterima berkaitan kes kebakaran Wisma Jakel di Seksyen 7 di sini, termasuk melibatkan kejadian terbaharu tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, kesemua laporan itu diperoleh pihaknya sejak kebakaran awal syarikat tekstil berkenaan kelmarin.

“Tujuh laporan itu masing-masing tiga daripada pihak Jakel, tiga peniaga premis berdekatan dan satu orang awam.

“Namun, tiada laporan berhubung spekulasi dan unsur fitnah di media sosial diterima polis,” katanya ketika meninjau lokasi kejadian hari ini.

Jelas beliau, siasatan kebakaran itu diserahkan sepenuhnya kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.

“Polis akan menjalankan siasatan lanjut selepas menerima laporan penuh berkenaan kelak. Ini termasuk sekiranya wujud perbuatan individu membakar atau unsur jenayah lain.

“Kita juga menempatkan anggota polis bagi menjalankan pemantauan selain sebuah Balai Polis Bergerak di lokasi tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd. Iqbal memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai kejadian berkenaan di media sosial.

“Kita mendapati masih banyak spekulasi tular termasuk dakwaan berkaitan tuntutan insurans oleh pihak Jakel.

“Polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Shah Alam, Dr. Nor Fuad Abdul Hamid berkata, semua premis termasuk dua bank di kawasan berkenaan diarah tutup sepenuhnya.

“Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengikut arahan dikeluarkan bomba yang masih menjalankan siasatan dan pemantauan di lokasi kejadian.

“Semua premis di kawasan lain bagaimanapun masih beroperasi setakat ini,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI