Tahun 2023 telah tiba dan kehadirannya diraikan di seantero dunia. Meskipun sambutan secara besar-besaran bagi menyambut kedatangan tahun 2023 dibatalkan, namun perkara tersebut tidak memadam semangat rakyat Malaysia meraikan kehadiran tahun baharu.
Setiap kali memasuki tahun baharu, ia memberi peluang kepada masyarakat untuk merancang sesuatu kelainan agar bersesuaian dengan trend semasa.
Sudah pasti masyarakat dahagakan sesuatu kelainan sama ada dari segi fesyen, pemilihan aksesori dan pemilihan warna kediaman.
Tidak terkecuali, ada individu yang mula menanam azam baharu untuk bersukan dan mengamalkan gaya hidup sihat dalam kehidupan harian.
Selepas era Perintah Kawalan Pergerakan akibat Covid-19, beberapa trend gaya hidup sihat diramal bakal popular pada tahun ini.
Pensyarah sosiologi yang juga merupakan Ketua Pusat Pengajian Komunikasi dan Media, Universiti Teknologi Mara, Cawangan Melaka, Prof. Madya Dr. Abdul Rauf Ridzuan berpendapat, aktiviti fizikal akan mengambil tempat dalam hati masyarakat pada tahun ini.
Ujarnya, semasa pandemik lalu, majoriti gimnasium dan kelas-kelas kecergasan terpaksa ditutup sehingga mendorong masyarakat mula melakukan aktiviti sihat di rumah masing-masing.
“Pada pendapat saya, aktiviti fizikal seperti joging dan senaman di kawasan tasik atau ruang terbuka akan menjadi pilihan orang ramai pada tahun ini.
“Banyak trek pejalan kaki yang sudah dibuat oleh pihak berkuasa tempatan untuk menggalakkan orang ramai melakukan aktiviti di luar rumah,” ujarnya.
Pada masa sama, dia memaklumkan bahawa kafe-kafe hipster atau kedai kopi akan tumbuh bak ‘cendawan selepas hujan’ berikutan permintaan tinggi dalam kalangan generasi muda.
“Tidak dinafikan, orang muda suka mencuba perkara baharu. Jadi, sudah semestinya kafe hipster akan menjadi pilihan mereka.
“Biasanya, sasaran pelanggan kafe ini adalah orang muda. Ini menjadikan kedai kopi itu kekal relevan pada tahun ini,” katanya.
Mengulas mengenai pembelajaran secara online, dia berkata, ia telah menjadi norma baharu kepada masyarakat selepas pandemik Covid-19 melanda dunia.
Abdul Rauf berkata, kelas online kekal relevan kerana memudahkan orang ramai untuk belajar perkara baharu tanpa perlu keluar dari rumah.
“Seperti semua sedia maklum, kelas online tidak tertakluk kepada pengajian di universiti sahaja, malah masyarakat juga boleh belajar memasak menerusi telefon pintar masing-masing.
“Peserta cuma perlu bayar yuran pendaftaran sahaja. Ia jauh lebih menjimatkan kerana peserta atau pengajar tidak perlu membayar kos menyewa tempat,” ujarnya.
Abdul Rauf juga berpendapat bahawa masyarakat akan mula mengamalkan gaya hidup lestari seperti mengurangkan penggunaan beg plastik pada tahun ini.
“Kebanyakan pasar raya seperti AEON telah mengenakan caj sebanyak RM0.20 untuk setiap beg plastik yang digunakan oleh pelanggan.
“Sejak itu, orang ramai mulai membawa beg kitar semula ke pasar raya. Saya rasa pada tahun ini mungkin kadar penggunaan beg plastik akan semakin berkurang,” ulasnya.
Perkara berkenaan memberi petunjuk bahawa kempen mengurangkan penggunaan beg plastik yang dianjurkan oleh kerajaan telah membuahkan hasil.
Dalam pada itu, biarpun dunia berdepan virus pandemik Covid-19, namun industri fesyen tidak pernah sesekali mati.
Malah, masyarakat di negara ini sentiasa berusaha mencari kelainan dengan cuba mengenakan busana terkini setiap kali melangkah masuk ke tahun baharu.

Ketika ini, pelbagai pihak dalam industri fesyen sedang mempersiapkan strategi bagi mengetengahkan trend pakaian dan warna terkini.
Pereka dan Pengarah Kreatif Behati, Kel Wen berkata, gaya yang bakal popular pada tahun ini adalah baju bersaiz besar atau oversize dam puffy sleeves.
“Orang ramai akan kembali menyarung pakaian ala-ala tradisional klasik dengan aksesori agak minimalis,” jelasnya.
Mengulas lanjut, baju kurung juga akan diubah suai menjadi gaun atau abaya dengan dihiasi motif flora bagi menaikkan lagi seri si pemakai.
Aksesori seperti cincin dan rantai sentiasa berada dalam trend.
“Saya berpendapat, kerongsang juga akan menjadi pilihan orang ramai pada tahun ini. Ia akan menjadi sebahagian daripada aksesori,” ujar Kel Wen.
Menurutnya, jenama Behati akan mengeluarkan kerongsang tidak terlalu berkilat, namun lebih kepada konsep minimalis sebagai aksesori tradisional yang tidak ditelan zaman.
Dia menambah, tekstur kain satin akan kembali menyinar dalam industri fesyen pada tahun ini berikutan teksturnya yang lembut dan berkilat.
“Kain satin akan mendapat tempat dalam kalangan hati pereka fesyen dan pengguna pada tahun ni.
“Seperti baju Melayu, kain satin yang berkilau akan menambahkan lagi elemen mewah dan elegan, sekali gus menjadikannya kelihatan moden,” ulasnya.
Kongsi pemuda berasal dari Melaka itu, warna merah jambu neon akan menjadi rona utama pada tahun ini.
Katanya, warna biru dan putih, corak berkotak-kotak atau checkered berwarna putih turut menjadi pilihan ramai.
“Gabungan warna seperti putih merah dan putih hitam bakal memberikan suasana lebih segar, sekali gus dapat menggambarkan kedatangan musim bunga,” terangnya.
Tambah menarik, Kel Wen berpendapat, baju raya pada tahun ini akan lebih mengutamakan gaya minimalis tanpa mempunyai corak-corak bunga yang sarat.
“Rata-rata orang ramai akan kembali mengenakan gaya klasik serta mudah untuk dipadankan dengan pakaian harian,” katanya.
Maklumnya lagi, beg besar seperti tote bag bakal menjadi pilihan para wanita pada tahun ini.
Jelasnya, ia berbeza dengan tahun lalu apabila beg mini menjadi kegilaan ramai wanita.
“Orang ramai terutamanya wanita akan mula menggunakan beg yang mempunyai pelbagai fungsi, mudah dibawa serta mempunyai ruang cukup mengisi barangan keperluan mereka.
“Tote bag yang digayakan perlulah mempunyai sedikit sentuhan fesyen. Jadi apabila letak barang, si pemakai masih lagi boleh menggayakan beg berkenaan,” ujarnya.
Bagi hiasan dalaman rumah atau bangunan pula, warna yang berunsurkan earth tone bakal menjadi pilihan masyarakat Malaysia pada tahun 2023.

Pereka dalaman, Muhammad Arif Abd. Latif berkata, warna-warna bumi seperti biru, hijau dan coklat bakal popular kerana membawa panorama santai kepada penghuni.
“Semasa Covid-19 melanda dunia tempoh hari, ramai mengalami tertekan. Pastinya, masyarakat mahukan ketenangan di rumah sendiri selepas ini.
“Warna-warna natural akan menjadi pilihan orang ramai dengan rekaan dalaman menampakkan elemen minimalis,” terangnya.
Ujar Muhammad Arif, konsep minimalis seperti gaya Japan, moden dan muji mungkin lebih terkenal kerana kelihatan rapi serta tidak sarat dengan aksesori.
“Ramai akan kembali meminati gaya natural termasuk penggunaan perabot yang diperbuat daripada kayu.
“Namun, perkara ini bergantung kepada individu itu sendiri. Ada yang suka hiasan yang tidak terlalu sarat dan sebaliknya,” tambahnya.














