fbpx

Ibu bapa abai anak boleh dikenakan tindakan – Nancy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Ibu bapa atau penjaga yang mengabaikan anak-anak tanpa pengawasan yang sewajarnya boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 33 (1) Akta Kanak-kanak.

Demikian tegas Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri merujuk kepada kejadian dua beradik maut dalam satu kebakaran di kediaman mereka di Kampung Simpang Tiga, Gombak, Selangor awal pagi tadi.

“Saya berasa amat dukacita apabila mengetahui tentang kes kebakaran yang melibatkan dua kanak-kanak berusia 7 dan 10 tahun awal pagi tadi. Kedua-dua mereka didapati terkunci di dalam rumah sehingga menyebabkan kematian.

“Berdasarkan Akta Kanak-kanak 2001, ibu bapa atau penjaga yang mengabaikan anak-anak tanpa pengawasan sewajarnya boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 33(1) Akta Kanak-kanak. Kes ini sedang disiasat oleh pihak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nancy, beliau ingin menasihati ibu bapa dan penjaga agar sentiasa menjaga, mengawasi dan tidak mengabaikan anak-anak.

“Jiran tetangga serta komuniti setempat juga perlu melaporkan kepada Jabatak Kebajikan Masyarakat (JKM) sekiranya terdapat kes kanak-kanak yang ditinggalkan tanpa pengawasan serta diabaikan,” ujar beliau.

Nancy berkata, susulan kebakaran yang melibatkan tiga buah rumah dengan lapan orang mangsa itu, Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah memberikan bantuan awal dalam bentuk sumbangan barangan keperluan bencana kepada mereka yang terlibat.

“Kita kini sedang dalam proses mengenal pasti bantuan bersesuaian untuk diberikan kepada mangsa-mangsa yang terlibat dan pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di Balai Raya Kampung Simpang 3, Gombak,” ujar beliau.

Terdahulu, Kosmo! Online hari ini melaporkan tentang dua beradik yang maut selepas rumah teres didiami mereka dijilat api dalam kejadian awal pagi tadi.

Kedua-dua beradik berkenaan dipercayai tidak dapat menyelamatkan diri kerana pintu grill berkunci serta kedua ibu bapa mereka keluar rumah ketika kejadian berlaku. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI