fbpx

Penduduk runsing lembu berkeliaran di jalan raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kemunculan lembu-lembu tanpa pengawasan membimbangkan penduduk di sekitar kawasan Dengkil lebih-lebih lagi pada waktu malam. - Foto IHSAN AZWAN MUHAMMAD

SEPANG – Penduduk di beberapa kawasan di sekitar Dengkil di sini menyatakan kebimbangan mereka berhubung kemunculan beberapa puluh ekor lembu dan kerbau yang dibimbangi mengundang risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya terutamanya di waktu malam.

Penduduk, Azwan Muhammad berkata, beliau mula menyedari kemunculan gerombolan haiwan ternakan itu sejak enam bulan lalu namun mendakwa bilangannya semakin bertambah sehingga adakalanya mengganggu kelancaran jalan raya.

“Lembu-lembu ini dibiarkan tanpa pengawasan dan bebas bergerak di kawasan Dengkil, Kampung Ahmad Razali dan Jenderam yang sudah pastinya mengundang risiko terutamanya kepada pengguna jalan raya.

“Kelmarin (Jumaat) di Jenderam Hilir, kereta seorang penduduk di sini rosak teruk selepas merempuh tiga ekor lembu yang berada di atas jalan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Azwan berkata, sehingga hari ini bangkai-bangkai lembu yang mati akibat rempuhan tersebut masih lagi dibiarkan di tepi jalan di lokasi kejadian tanpa dipedulikan oleh sesiapa termasuklah si pemilik lembu.

Menurut Azwan, kesemua haiwan-haiwan ternakan tersebut dipercayai bertuan namun tidak dapat dipastikan pemiliknya dan sehingga kini masih tiada sesiapa yang ingin mengaku lebih-lebih lagi setelah berlaku kemalangan.

Sementara itu, tinjauan di laman media sosial mendapat kebimbangan sama turut disuarakan oleh beberapa individu yang mendakwa kemalangan melibatkan haiwan tersebut telah beberapa kali berlaku ditambah lagi dengan keadaan jalan yang gelap.

“Tolong lah letak lampu di sini, sudah ramai yang kemalangan dengan binatang di sini dan tuan lembu tolonglah bertanggungjawab jangan biarkan lembu merayau ke tengah jalan,” kata Farzana. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI