fbpx

Laluan Bas Nadiputra ditambah baik – PPj

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Presiden PPj, Datuk Fadlun Mak Ujud (kiri) bersama pasukan trafik dan pengangkutan awam PPj melakukan tinjauan pengoperasian perkhidmatan bas Nadiputra, pagi tadi. - Foto IHSAN PPj

PUTRAJAYA – Selepas meneliti segala rungutan warga Putrajaya, akhirnya Perkhidmatan Bas Nadiputra akur dan menyemak semula laluan dan kekerapan operasi demi keselesaan penumpangnya.

Perbadanan Putrajaya (PPj) menerusi hantaran di Facebook berkata, pihaknya telah menambah baik operasi melibatkan peluasan kawasan baharu dan kekerapan waktu puncak.

Menurutnya, laluan P103 akan melalui Jalan P15 yang bertujuan memberi perkhidmatan kepada penduduk di kuarters penjawat awam di 15-12A dan 15-12B serta sekitarnya.

“Selain itu, penetapan semula kekerapan waktu puncak turut dibuat bagi Laluan P101 daripada 15 minit kepada 10 minit manakala kekerapan luar waktu puncak dikekalkan bermula 3 Januari ini.

“Kami juga menetapkan semula kekerapan waktu puncak bagi Laluan P102, P103, P104, P105, P106, P108 daripada 30 minit kepada 20 minit manakala kekerapan luar waktu puncak dikekalkan bermula 3 Januari ini,” katanya.

Sebelum ini, pelan operasi dan laluan baharu Bas Nadiputra menerima reaksi pelbagai warga Putrajaya apabila ia berbeza daripada laluan asal selain menyukarkan penjawat awam ke tempat kerja.

Rungutan itu mendapat reaksi Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin sebelum masalah itu dibawa ke PPj untuk semakan semula.

Untuk rekod, perkhidmatan Bas Nadiputra kini dioperasikan oleh Rapid Bus Sdn. Bhd. bermula hari ini.

Sebanyak tujuh laluan diperkenalkan yang akan beroperasi bermula pukul 6.30 pagi hingga 8 malam pada hari Isnin hingga Jumaat dan dari pukul 7 pagi hingga 8 malam pada hari Sabtu, Ahad dan hari kelepasan am.

Kadar tambang sebanyak RM1 sehala untuk enam laluan manakala satu laluan iaitu laluan P101 (Kompleks F – Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah – Persiaran Perdana – Presint 5) adalah percuma. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI