fbpx

Selepas tambang bas sekolah, apa lagi mahu naik 2023?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Esok permulaan hari untuk tahun 2023. Tahun yang penuh mendebarkan, dengan kelembapan ekonomi dan inflasi.

Dua tahun melalui pandemik Covid-19, sebahagian rakyat masih belum hidup selesa, masih ada yang merangkak dan belum mampu untuk tersenyum lebar.

Ada yang masih tercari-cari pekerjaan, peniaga bergelut dengan kenaikan harga barangan, majikan pula terpaksa bersaing mendapatkan pekerja selain isu gaji.

Di satu sudut, ibu bapa merenung nasib apabila terpaksa mengeluarkan belanja lebih buat pengangkutan anak-anak ke sekolah.

Semuanya kerana pemilik bas menaikkan kadar bayaran bermula Januari 2023 sehingga RM300 bagi satu-satu perjalanan. Malah ada yang lebih dari itu.

Alasan pengusaha, mereka perlukan duit untuk kelangsungan perniagaan disebabkan alat ganti yang mahal dan tuntutan pemandu selain kesesakan jalan.

Jika tidak dinaikkan gaji maka tiadalah pemandu yang akhirnya menyebabkan anak- anak kehilangan pengangkutan. Kata pemandu, mereka tidak kisah untuk mencari pekerjaan lain yang kurang tekanan.

Menyoroti permasalahan ini, cuba bayangkan jika sebuah keluarga mempunyai tiga orang anak, belanja sebulan hampir RM1,000 untuk bas sekolah sahaja.

Ini belum masuk duit sekolah harian. Jika dahulu kita bawa RM2 tetapi kini paling tinggi RM5. Kata anak-anak nasi goreng RM3, harga telur goreng pun RM1.

Semua ini tidak termasuk keperluan mata pelajaran lain, contohnya barangan untuk mata pelajaran Pendidikan Seni dan Visual yang perlu disediakan.

Selain bas sekolah, yuran taska dan tadika swasta juga dikatakan akan naik, jika tidak Januari pasti bulan Mac, seiring pembukaan sekolah.

Bagaimana pula dengan buku, uniform, beg dan barangan lain? Bertambah lagi duit poket tahun depan.

Tiada pilihan atas dasar pendidikan. Bukan merungut tetapi berkongsi rasa sesetengah rakyat terutamanya golongan B40 dan miskin tegar.

Semua kenaikan ini antara lonjakan harga barangan yang perlu dihadapi pengguna sekali gus menyaksikan kenaikan kos sara hidup.

Perlu diingat, ibu bapa yang menggunakan khidmat bas sekolah bukan kaya tetapi keperluan berikutan tuntutan kerja selain jarak rumah ke sekolah.

Mungkin selepas ini, ibu bapa perlu mengatur semula perjalanan ke tempat kerja dan menghantar serta mengambil sendiri permata hati mereka.

Namun dengan kesesakan jalan ketika ini, kelewatan mengambil anak-anak pasti akan terjadi.

Di sini keprihatinan majikan diperlukan, sama seperti mereka reda dengan pindaan Akta Kerja 1955, begitulah dipohon dalam isu persekolahan anak-anak.

Jangan mula ada yang mengugut mahu berhentikan mereka bekerja. Jangan samakan kesusahan majikan dan pekerja. Benda boleh bincang jangan ditambah kerumitan.

Kepada Kerajaan Perpaduan, isu ini membelenggu setiap tahun, wajarlah pemberian subsidi buat pengusaha mahupun pelajar kurang mampu ditimbangkan. Buatlah keputusan menang-menang agar tiada yang tertekan.

Selamat tahun baharu 2023, semoga semuanya indah buat rakyat Malaysia tahun depan. Terima Kasih 2022.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI