fbpx

Pelaku buang longgokan perhiasan ayat al-Quran boleh dikenakan tindakan oleh SWCorp

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SWCorp memasang pita kuning dan kain rentang amaran di kawasan longgokan perhiasan al-Quran yang telah dibersihkan di Jalan P/AM 2 Kawasan Perindustrian Arab Malaysia, Nilai.

SEREMBAN – Pelaku yang membuang perhiasan mengandungi ayat suci al-Quran boleh dikenakan tindakan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) kerana membuat longgokan barang itu di tempat tidak sepatutnya.

Pengarah SWCorp Negeri Sembilan, Siti Yusnita Mohamad Yusof berkata, lokasi pembuangan tersebut bukanlah kawasan ‘hotspot’ sampah haram yang telah dikenal pasti sebaliknya dilonggokkan bersama sampah lain.

“Ada dua longgokan sisa sampah lain di lokasi itu iaitu terdiri daripada longgokan sisa binaan dan sisa domestik di mana sisa tersebut adalah dalam kategori sampah longgok.

“Sekiranya dapat dikenal pasti pelaku yang melakukan pembuangan sampah di tempat yang tidak sepatutnya, boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta 672 (Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Siti Yusnita berkata, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM10,000 dan maksimum RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh minimum enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

“Untuk makluman, pada hari kejadian semasa anggota penguat kuasa SWCorp Nilai sedang membuat pemantauan di lokasi telah menjumpai longgokan hiasan ayat al-Quran.

“Anggota penguatkuasa SWCorp Nilai telah membuat tindakan awal dengan memasang pita kuning serta pemantauan statik di lokasi sementara menunggu agensi-agensi lain termasuk Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan pihak polis tiba bagi mengelak penambahan sisa sampah lain,” katanya.

Jelas Siti Yusnita, buat masa ini tindakan selanjutnya adalah daripada JHEAINS.

Beliau berkata, sekiranya orang ramai mempunyai maklumat atau aduan berkaitan Pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam boleh hubungi talian bebas tol 1-800-88-7472.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan kesucian ayat suci al-Quran tercemar apabila ditemui dalam longgokan dipercayai dibuang oleh pihak industri di kawasan tempat pembuangan sampah haram di Jalan P/AM 2 Kawasan Perindustrian Arab Malaysia, Nilai di sini, Selasa lalu.

Longgokan kira-kira hampir tujuh tan ayat suci al-Quran tersebut telah diangkut menggunakan lori roll-on-roll-off (RORO) milik MBS untuk tujuan pelupusan mengikut hukum syarak.

Setakat ini, longgokan tersebut akan ditempatkan sementara di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi di Seremban sebelum dilupuskan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI