fbpx

Nenek lega tiga cucu dapat MyKad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERMAH (kiri) bersama tiga cucunya termasuk pelajar cemerlang STPM 2021, Siti Nur Shakila (kanan) ketika ditemui di Rembau semalam.

REMBAU – Seorang nenek berasa lega, terharu dan gembira apabila permohonan tiga cucu­nya untuk mendapatkan kewarganegara Malaysia sejak lebih 12 tahun lalu akhirnya berhasil apabila diluluskan oleh kerajaan.

Termah Kasim, 71, berkata, dia kini yang sudah uzur akhirnya yakin dengan masa depan cucu-cucunya yang berusia antara 12 hingga 20 tahun.

“Lebih gembira apabila hasrat mereka untuk menyambung pelajaran ke universiti awam, lebih-lebih lagi Siti Nur Sha­kila Abdullah, 20, yang merupakan bekas pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok China di Melaka.

“Lega hati saya apabila keputusan cemerlang Siti Nur Shakila yang mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.75 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 tidak sia-sia,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Radin, di sini semalam.

Dua lagi cucunya ialah Siti Nur Nilam Sari, 18, dan Muhammad Haikal Idham, 12.

Katanya, dengan taraf kewarganegaraan itu, tiga cucunya akan mendapat keistimewaan untuk mendapat pendidikan dengan kos warganegara tidak seperti sebelum ini apabila dia terpaksa bertungkus-lumus mencari rezeki serta berjimat menggunakan wang bantuan bagi memastikan mereka bersekolah.

“Cita-cita saya untuk lihat cucu-cucu belajar sampai ke tahap mana yang mereka boleh belajar. Bila tiada kad pengenalan, nak sambung belajar, kami tidak mampu sebab ada masalah kewangan dan kos tentunya lebih tinggi daripada sekolah kerajaan.

“Alhamdulilah, mujur penduduk, guru, pemimpin setempat dan media membantu sepanjang proses mendapatkan kewarganegaraan ini. Dalam tempoh lebih 12 tahun ini tidak terkira berapa banyak kami turun naik ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hingga ke Putrajaya bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Pada 12 Disember 2021, Kos­mo! melaporkan, seorang warga emas runsing nasib tiga cucunya selepas ketia­daannya kelak ke­rana ketiadaan kad pengenalan.

Dalam pada itu, Siti Nur Sha­kila berkata, dia seolah-olah mendapat kehidupan baharu apabila membaca keputusan status kewarganegaraan mereka tiga beradik dalam surat yang dibuka mereka di Pejabat JPN Rembau pada 15 Disember lalu.

Menurutnya, dia kini tidak sabar menerima kad pengenalan tersebut dan membeli borang UPU Online ke Universiti Awam (UA) buat pertama kalinya menggunakan nombor kad pengenalan yang bakal dimiliki nanti.

“Tempoh menunggu antara tiga ke enam bulan. Saya tak sabar perolehinya kerana mahu sambung pelajaran serta ubah nasib keluarga dan membalas jasa nenek. Saya ada mendapat tawaran Universiti Melaka, namun saya tangguhkan dulu kerana tidak mampu dari segi kewangan.

“Buat masa ini, saya bekerja di kedai cuci kereta berhampiran dengan gaji harian selain membuat jualan produk secara online. Saya masih belum tahu untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang apa, namun bidang undang-undang amat menarik,” katanya.

Tambahnya, jika sebelum ini dia menetapkan sasaran mendapat keputusan cemerlang sebagai membalas jasa neneknya yang bertungkus-lumus membesarkan mereka bertiga serta memohon kewarganegaraan, kini sasaran tetap sama, namun laluannya kurang berliku seperti dahulu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI