fbpx

Jururawat rugi RM198,000, duit pinjaman peribadi lesap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUANTAN – Seorang jururawat berputih mata apabila duit pinjaman peribadi sebanyak RM198,000 yang baru dibuatnya lesap selepas dia terperdaya dengan helah sindiket Macau Scam di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kejadian bermula pada 13 Disember lalu apabila mangsa yang berumur 36 tahun menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai wakil sebuah syarikat penghantaran barang.

Katanya, panggilan tersebut kemudiannya didakwa disambungkan pula kepada pegawai polis yang menyatakan kononnya mangsa terlibat dalam sindiket senjata api dan pengedaran dadah.

“Mangsa telah diminta membuat pinjaman peribadi oleh suspek dan diberikan satu pautan untuk mengisi maklumat mangsa.

“Setelah pinjaman peribadi diluluskan oleh pihak bank daripada tempoh permohonan lebih kurang dua minggu, wang tersebut telah dipindahkan ke akaun suspek tanpa disedari mangsa,” katanya di sini hari ini.

Menurut Ramli, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan giat dilakukan.

Dalam pada itu pihak polis menasihati orang ramai supaya jangan mendedahkan butir perbankan kepada pihak ketiga atau pun di dalam sebarang aplikasi daripada pautan yang mencurigakan.

“Jangan takut atau cemas apabila dihubungi atau didakwa terlibat dengan apa-apa jenayah oleh panggilan telefon yang mendakwa sebagai pihak berkuasa.

“Adalah diingatkan bahawa pihak penguat kuasa tidak menjalankan apa-apa siasatan melalui panggilan telefon,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI