fbpx

Milan mampu pertahankan kejuaraan liga Serie A

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PIOLI masih percaya saingan memburu kejuaraan Serie A masih belum berakhir meskipun Milan ketinggalan lapan mata dengan pendahulu liga, Napoli. – AFP

MILAN – Ketua jurulatih AC Milan, Stefano Pioli melaungkan keyakinan mereka masih mampu mempertahankan kejuaraan Serie A musim lalu walaupun ke­tinggalan lapan mata di belakang Napoli ketika ini.

Milan ketika ini menduduki tangga kedua dengan 33 mata hasil 10 kemenangan, tiga seri dan dua tewas, manakala Napoli selesa menerajui carta menerusi 41 mata tanpa kalah daripada 15 perlawanan.

Justeru, Pioli, 57, menuntut anak-anak buahnya bangkit memenangi sebanyak yang boleh perlawanan dalam baki tahun 2023 apabila saingan Serie A kembali berlangsung pada 4 Ja­nuari ini.

“Pasukan ini lebih ke arah melabur dalam pemain muda, jadi jangkaan terhadap mereka tidaklah terlalu tinggi walaupun kami berjaya menjuarai Scudetto musim lalu.

“Bagaimanapun, ia tidak bermakna kami menyerah kalah dan tidak akan mencuba. Kami akan tetap berikan segala-galanya ke­rana pemain sudah merasai nikmat bergelar juara.

“Saya percaya ia masih boleh dilakukan. Kalau Napoli dapat teruskan momentum dan me­ngutip 100 mata, kami terpaksa mengucapkan tahniah kepada mereka,” kata Pioli.

The Rossoneri akan menghadapi satu lagi aksi persahabatan menentang PSV Eindhoven awal pagi Sabtu ini sebelum kembali membuka saingan Serie A berdepan Salernitana pada 4 Januari.

Pada masa sama, Milan perlu memastikan pasukan tersebut tidak tercicir mata selepas ini memandangkan Juventus sedang menanti peluang untuk memintas kedudukan mereka apabila menghuni tangga ketiga dengan 31 mata. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI