fbpx

Mahkamah: Ugut bunuh adik, abang dihukum berkelakuan baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahkamah Kuala Pilah.

KUALA PILAH – Seorang pesalah muda dijatuhkan hukuman bon berkelakuan baik selama dua tahun di Mahkamah Majistret, di sini, atas kesalahan menyebabkan kecederaan ke atas adik perempuan kandungnya bulan lalu.

Tertuduh yang kini berusia 20 tahun memohon diberikan peluang kedua di hadapan Majistret, Saiful Sayoti selepas pertuduhan serta laporan sosial dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan, pada 26 November kira-kira pukul 4.30 petang bertempat di sebuah kampung di daerah ini, pesalah muda itu dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas adiknya berusia 15 tahun.

Tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan di mana boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, pada tarikh, masa dan lokasi yang sama, pesalah muda telah melakukan ugutan jenayah dengan mengeluarkan kata ugutan “Aku sumpah aku bunuh kau nanti. Aku pancung kau” sehingga mendatangkan ketakutan kepada adiknya.

Atas kesalahan tersebut, pesalah muda berkenaan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang mana boleh dihukum hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pesalah muda berkenaan dalam rayuannya memohon diberikan peluang kedua dan tidak ke penjara serta mahu kembali ke pangkuan keluarga.

Majistret kemudiannya betanyakan sama ada pesalah muda berkenaan sudah insaf atau tidak.

Pesalah muda tersebut membalas selama sebulan dia berada di dalam penjara, sudah banyak yang dipelajarinya termasuklah pengalaman di penjara lebih teruk berbanding di rumah.

“Saya harap ini kali pertama dan terakhir saya jejaki penjara,” luahnya.

Difahamkan hasil siasatan mendapati pergaduhan dua beradik itu disebabkan berebut bilik.

Majistret turut bertanyakan sekiranya pulang ke rumah adakah bilik buatnya nanti.

Pesalah muda berkenaan menyatakan akan menyerahkan sepenuhnya bilik tersebut kepada adiknya dan akan membuat bilik lain.

Majistret kemudiannya mengarahkan pesalah muda diletakkan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin dan cagaran RM1,000

Pesalah muda juga dikehendaki hadir perintah kehadiran wajib kerja dalam tempoh tiga bulan tidak melebihi empat jam setiap hari di bawah pengawasan Jabatan Penjara Malaysia.

“Lapor diri ke balai polis berdekatan setiap bulan bagi memastikan kamu (pesalah muda) tidak melanggar undang-undang negara,” ujar Majistret.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Peh Fong Xi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI