fbpx

Bersantai dalam karavan di Gopeng

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERDAPAT empat unit karavan yang boleh dipilih oleh pengunjung di Natasya Riverside Resort Gopeng, Gopeng, Perak.

PERCUTIAN di dalam karavan yang sangat popular di negara-negara Barat kini semakin digemari oleh warga tempatan.

Bersantai di dalam karavan sambil melihat dan menikmati udara segar di hutan atau tepi pantai pastinya memberikan pengalaman percutian menarik serta menenangkan.

Bertempat di Gopeng, Perak, sebuah resort yang menawarkan pengalaman tinggal di dalam karavan semakin menjadi tumpuan orang ramai yang inginkan percutian sedemikian.

Natasya Riverside Resort Gopeng (NRRG) membuka pintunya kepada pengunjung pada 2018 dengan menawarkan percutian karavan serta chalet dengan konsep kabin.

Bagi unit karavan, ia boleh memuatkan sehingga lima orang pada satu-satu masa.

Karavan yang ditawarkan dihias mewah serta dilengkapi dengan kemudahan katil sofa, katil dua tingkat untuk kanak-kanak, tandas, pendingin hawa, dapur memasak, televisyen dan peralatan barbeku.

Pengurus Pemasaran NRRG yang hanya mahu dikenali sebagai Kila berkata, lokasi percutian tersebut bertemakan keindahan alam semula jadi dengan menjanjikan pengalaman berbeza kepada pengunjung.

“Lokasi ini terletak sekitar dua jam perjalanan dari Kuala Lumpur. Ini menjadikan ia sebagai salah satu lokasi terbaik kepada mereka yang mencari lokasi percutian yang tidak terlalu jauh dari ibu kota.

“Resort ini juga adalah satu-satunya penginapan di tengah-tengah kampung tradisional yang dikelilingi oleh flora dan fauna liar,” ujarnya.

PENGUNJUNG berpeluang bersantai di dalam karavan sambil menikmati keindahan alam semula jadi kawasan sekitar.

Terletak di atas tanah seluas dua hektar, NRRG menawarkan 20 unit suite kabin dengan pemandangan alam semula jadi yang cukup mendamaikan.

“Terdapat lima unit chalet kayu dan empat unit karavan yang boleh dipilih oleh pengunjung di sini. Harga yang ditawarkan cukup berpatutan,” ujar Kila.

Tambahnya lagi, lokasi tersebut mampu memuatkan sehingga 60 pengunjung pada satu-satu masa.

Bagi pelawat yang mahu melakukan aktiviti di kawasan sekitar, mereka boleh berkunjung ke beberapa tempat tarikan berdekatan, antaranya Gua Tempurung dan air terjun Ulu Geruntum.

Aktiviti lain yang wajib dicuba sepanjang menginap di NRRG adalah seperti eksplorasi gua, berakit arus deras, mandi air terjun, barbeku, memancing, berkelah dan karaoke di dalam hutan.

Bagi makanan pula, Kila memaklumkan, kebanyakan hidangan yang disajikan di resort tersebut merupakan sajian popular masyarakat tempatan.

“Kebanyakan pelanggan yang datang ke sini dan telah mencuba sendiri makanan ditawarkan akan memberikan komen positif berkenaan menu disajikan oleh kami,” ujarnya.

Selain percutian bersama keluarga, NRRG juga menerima tempahan bagi aktiviti berkumpulan seperti seminar, team building dan sambutan hari keluarga.

Malah, pihak resort boleh membantu mengatur perjalanan ke perkampungan Orang Asli berhampiran sekiranya ada pengunjung yang berminat untuk menginap di sana.

Orang ramai yang berminat untuk berkunjung dan bermalam di NRRG boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi e-mel kepada [email protected].

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI