fbpx

Penduduk Kampung Sungai Baru belum pindah ditempatkan di rumah sewa awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan Rumah Pangsa PKNS Jalan Sungai Baru, Kampung Baru yang sunyi sepi kerana sebahagian penduduk telah diarah mengosongkan kediaman mereka sehingga hujung bulan ini bagi tujuan program pembangunan semula kawasan itu.

PETALING JAYA – Isu Flat Kampung Sungai Baru berpunca daripada ketiadaan koordinasi yang baik antara pemaju, wakil rakyat serta Kementerian Wilayah Persekutuan pada tahun 2019.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, situasi menjadi lebih rumit apabila 10 peratus penduduk di situ masih belum berpindah keluar.

“Seramai 90 peratus penduduk telah dengan sukarela bersetuju pindah kerana mahukan pembangunan semula kawasan flat yang telah uzur ini.

“Jika perkara ini berlarutan, ia secara langsung akan menyebabkan 90 peratus penduduk yang telah berpindah terjejas kerana telah menunggu pembangunan semula kawasan flat ini selama hampir lima tahun,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial hari ini.

Sehubungan itu, Johari berkata, beliau menyarankan kepada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian WP (PTGWP) memberi masa sekurang-kurangnya enam bulan kepada baki 10 peratus penduduk yang telah menerima pampasan sepenuhnya bagi mencari rumah untuk berpindah.

Jelasnya, beliau telah bertemu dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur bertujuan membantu menempatkan baki penduduk yang belum mendapat rumah untuk berpindah supaya dapat ditempatkan di rumah sewa awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) pada April lalu memaklumkan, pengambilan tanah bagi projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru sudah diwartakan di bawah Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT 1960) pada 21 Jun 2021.

Pengambilan itu membabitkan 72 unit rumah flat, 37 unit teres dan satu lot pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan bayaran pampasan rumah flat mula dibayar secara berperingkat pada Februari lalu.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI