fbpx

Mahkamah: Rayuan remaja bakar pusat tahfiz didengar 9 Mac depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Istana Kehakiman.

PUTRAJAYA – Rayuan seorang remaja yang didapati bersalah membunuh 21 pelajar dan dua guru Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dalam kejadian menyayat hati lima tahun lalu itu, akan didengar di Mahkamah Rayuan, di sini pada 9 Mac depan.

Peguam, Haijan Omar yang mewakili remaja yang kini berusia 21 tahun itu ketika dihubungi hari ini berkata, pada tarikh berkenaan, mahkamah juga akan turut mendengar satu lagi rayuan pendakwaan terhadap seorang lagi remaja yang merupakan tertuduh kedua dalam kes itu yang sebelum ini dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut

“Justeru mahkamah turut menetapkan 23 Februari ini untuk pengurusan kes,” kata peguam itu.

Dalam kejadian 14 September 2017 itu, seramai 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz terkorban selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz berkenaan yang terbakar.

Sebelum ini, kedua-dua remaja yang berusia 16 tahun ketika kejadian didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz berkenaan di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur antara pukul 4.15 pagi hingga pukul 6.45 pagi, pada 14 September 2017.

Berikutan itu pertuduhan terhadap mereka dikemukakan Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati.

Pada 28 Januari 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan salah seorang daripada mereka yang juga tertuduh kedua dalam kes itu tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan itu.

Kemudian pada 17 Ogos 2020, tertuduh pertama kes itu didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan tersebut.

Hakim Datuk Azman Abdullah ketika memutuskan kes itu menyatakan pihak pembelaan tidak menafikan fakta bahawa terdapat dua tong gas dibawa naik dari bahagian dapur ke hadapan pintu bilik mangsa-mangsa.

Keterangan saksi-saksi turut menyokong mengenai kewujudan petrol dan tong gas di pintu utama pusat tahfiz yang juga merupakan laluan utama untuk keluar.

Salah seorang saksi pendakwaan ketika memberi keterangan menyatakan dia, tertuduh pertama dan beberapa rakan lain berkumpul di sebuah warung kira-kira pukul 2.38 pagi dan ketika di warung terbabit terdengar seseorang bertanya “bila nak bakar tahfiz?” namun tidak dapat mengenal pasti pemilik suara berkenaan.

Tertuduh pertama itu bagaimanapun tidak dikenakan hukuman mati kerana ketika kejadian tertuduh merupakan pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 menyatakan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun.

Namun mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dan mengikut Seksyen 94 akta sama juga mempunyai kuasa untuk memerintahkan supaya ibu bapa dikenakan denda atau membayar pampasan.

Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 30 Mei 2018, seramai 71 orang saksi pendakwaan manakala enam saksi pembelaan telah dipanggil untuk memberi keterangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN