fbpx

Anak pasangan kemalangan rindukan ibu bapa, adik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Hakimi Amsyar (tengah) dan Nur Aisyah Umairah (kiri) di kediaman nenek mereka, Ropitah (kanan) di Pantai Remis, Lumut semalam.

LUMUT – “Ada masanya apabila sedang bermain di luar, dia akan masuk ke dalam rumah dan termenung sebelum meneruskan aktivitinya semula.”

Keadaan dialami Mohamad Hakimi Amsyar Mohamad Adam, 4, itu dikongsikan neneknya, Ropitah Din, 53, iaitu ibu kepada salah seorang mangsa yang maut dalam kemalangan di Jalan Kampung Koh-Pantai Remis berhampiran Jambatan Raja Permaisuri Bainun dekat Sitiawan pada 10 Disember lalu.

Kemalangan itu mengorbankan anaknya, Nur Hamizza Hamdan, 32; menantunya, Mohamad Adam Che Embi, 33, serta seorang cucunya, Mohamad Aisy Hakim, 2.

Akibat kemalangan tersebut, kedua-dua Mohamad Hakimi Amsyar serta kakaknya, Nur Aisyah Umairah, 6, yang turut terlibat dalam kemalangan itu menjadi yatim piatu dalam sekelip mata.

Menurut Ropitah, dia bagaimanapun bersyukur kerana kedua-dua cucunya itu terselamat walaupun pada awalnya dimaklumkan bahawa kesemua lima beranak itu telah meninggal dunia dalam kemalangan berkenaan.

“Pada awalnya, rakan Allahyarham menantu menghubungi kami dan memaklumkan bahawa mereka telah meninggal dunia akibat kemalangan tersebut.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana pihak hospital mengesahkan bahawa dua orang cucu iaitu Nur Aisyah Umairah dan Mohamad Hakimi Amsyar terselamat,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Ropitah berkata, akibat kemalangan itu, Nur Aisyah Umaira mengalami luka di bahagian wajah serta retak tangan kanan manakala adiknya turut luka di wajahnya.

Ujarnya, kedua-dua beradik itu dimaklumkan mengenai kematian ibu bapa mereka ketika menerima rawatan di Hospital Seri Manjung (HSM), dengan mereka dibenarkan keluar dari HSM kira-kira seminggu lalu.

“Ada kalanya apabila abang (Muhammad Hakimi Amsyar) bertanyakan mengenai ibu bapanya, saya menjelaskan kepadanya bahawa mereka telah ke syurga dan bagaimana keadaan di sana.

“Apabila melawat di pusara mereka pula, abang akan berkata ‘patutnya’ ibu bapanya serta adik tidak mahu balik kerana di sana sejuk,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, kedua-dua beradik itu kini dijaga oleh dirinya bersama-sama suami, Hamdan Hamdi, 63, di kediaman mereka di Pantai Remis di sini.

“Kami akan membawa mereka ke rumah yang baharu diduduki tidak sampai sebulan di Residensi Pr1ma@Segari untuk mengemasnya, selain bermain dengan rakan-rakan di sana,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Manjung, Mohd. Shaperi Md. Salleh berkata, Ropitah selaku penjaga kedua-dua beradik tersebut menerima Pencen Penakat berjumlah RM2,990 sehingga mereka berusia 21 tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI