fbpx

Kanak-kanak 4 tahun mati disyaki didera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meninggal dunia disyaki akibat didera dalam satu kejadian di Senggarang, Batu Pahat dekat sini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mangsa menghembus nafas terakhir kira-kira pukul 6.40 petang setelah empat hari bertarung nyawa ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, semalam.

Menurutnya, pada 23 Disember lalu, pengadu iaitu lelaki berusia 23 tahun membuat laporan polis memaklumkan mangsa pengsan di rumahnya dan dibawa ke klinik di Senggarang sebelum dirujuk ke HSI pada hari yang sama.

“Susulan itu, pada pukul antara 12 tengah hari sehingga 9.45 malam, 24 Disember lalu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat menahan lima individu berusia 15 hingga 37 tahun di sekitar Senggarang.

“Mereka terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita disyaki terlibat dalam kes dera berkenaan,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata, pihaknya turut merampas peralatan yang didakwa digunakan untuk mendera mangsa antaranya batang besi 29 inci, penyangkut baju, jaring penutup kipas serta cadar dan sarung bantal.

Ujarnya, siasatan awal mendapati, mangsa difahamkan telah dijaga kakak kandungnya selepas kedua-dua ibu bapa mangsa dimasukkan ke penjara atas kesalahan penyalahgunaan dadah.

Katanya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada rakan kakak kandung mangsa untuk dijaga.

Lima suspek yang ditahan itu termasuklah kakak kandung, pengadu serta rakan kakak mangsa.

Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 25 hingga 31 Disember ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Pada awalnya kes ini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 namun polis mengklasifikasikan semula kes akibat kematian mangsa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,”katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI