fbpx
NUR QALISYA ADILAH menunjukkan gambar ibunya yang meninggal dunia ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan kerana asma kronik Ahad lalu.

“Ibu meninggal dunia di pangkuan saya”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Seorang budak perempuan berusia 12 tahun tidak menyangka gurauan ibunya yang mahu tidur lama menjadi kenyataan apabila wanita itu maut selepas kereta dinaiki ter­babas dalam insiden berdekatan sebuah kilang di Jalan Senawang 2 di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, Norazmira Abdul Wahab, 32, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Ketika kejadian Norazmira bersama anaknya Nur Qalisya Adilah Mohamad Nazrul, 12, dalam perjalanan ke klinik untuk mendapatkan bantuan pernafasan akibat asma kronik.

Nur Qalisya Adilah berkata, semasa kemalangan dia mendapati ibunya sudah tidak sedarkan diri sebelum jatuh ke pangkuan­nya yang berada di kerusi penum­pang hadapan.

“Pihak paramedik mengesahkan ibu sudah tiada semasa di lokasi kejadian, sebelum itu ibu tidak menunjukkan perubahan ketara hanya sempat bergurau dengan anak saudara kata hendak tidur lama,” katanya.

Jelas Nur Qalisya Adilah, dia tidak menyangka gurauan itu menjadi kenyataan dan
seolah-olah bermimpi serta berfikir mungkin ibunya perlukan rehat.

“Tidak tahu kenapa malam kejadian saya memang tidak boleh tidur sebelum ibu ajak ke klinik, malah ibu juga sempat berbual dengan atuk serta adik beradik­nya yang lain selepas makan ubat biasanya ibu akan tidur dan berehat,” katanya.

KEADAAN kereta yang dinaiki Norazmira yang terbabas berdekatan sebuah kilang di Jalan Senawang 2, Seremban, Ahad lalu.

Dalam pada itu, Nur Qalisya Adilah berkata, dia terpaksa melupakan hasratnya untuk melanjutkan pengajian ke sekolah asrama demi tanggungjawab menjaga adik-adik.

“Sekarang adik-adik merupakan keutamaan saya walaupun impian dan hasrat ibu untuk saya meneruskan pelajaran di sekolah asrama dalam bidang agama.

“Insya-Allah saya akan berusaha tunaikan hasrat ibu walaupun bersekolah berdekatan rumah.

“Buat sementara ini kami adik beradik mengambil keputusan untuk tinggal dengan nenek memandangkan bapa yang bekerja sebagai pemandu lori se­ring keluar daerah untuk bekerja,” luahnya.

Sementara itu, suami Norazmira, Mohamad Nazrul Nor Azmir, 39, berkata, dia mendapat panggilan daripada Nur Qalisha Adilah memaklumkan mereka berdua terlibat kemalangan.

“Isteri dikatakan telah terlanggar pembahagi jalan terlebih dahulu selepas hilang kawalan
sebelum kereta dipandu terbabas dan masuk ke dalam longkang,” katanya ketika ditemui selepas dikunjungi Persatuan Cakna Rasa Sayang di Taman Alamanda, Senawang di sini semalam.

Menurut Mohamad Nazrul, kemalangan tersebut menyebabkan tiga anaknya Nur Qalisya Adilah, 12, Mohamad Qhalish, 7, Nur Qalisya Adileena, 3, menjadi anak yatim sekelip mata.

Mohamad Nazrul berkata, le­bih menyedihkannya apabila ketika kejadian dia sedang ­bekerja di luar kawasan membawa lori di ­Melaka dan kali terakhir berjumpa iste­rinya Jumaat minggu lalu.

“Isteri ada membuat panggilan video sebelum tidur pada pukul 10.30 malam hari kejadian mengadu sakit hendak demam kerana pagi itu dia cabut gigi,” katanya yang memberitahu isterinya menghidap asma kronik sejak kecil.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Mohamad Nazrul di talian 018-2977358.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN