fbpx

Banjir: Penduduk naik bot tunai solat Jumaat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk di tiga buah kampung di Pengkalan Kubor, Tumpat menaiki bot untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Ittihadi, Mukim Kubang Sawa hari ini. -Foto KAMARUL BISMI KAMARUZZAMAN

TUMPAT – Seramai 60 penduduk Mukim Kubang Sawa, Pengkalan Kubor di sini terpaksa menaiki bot untuk ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat selepas kampung mereka ditenggelami air sejak Isnin lalu.

Situasi itu merupakan rutin penduduk di kawasan itu sejak 40 tahun lalu semasa musim tengkujuh apabila kira-kira 30 kampung di sekitar Pengkalan Kubor di sini sering dilanda banjir akibat limpahan air Sungai Golok.

Imam Tua Masjid Ittihadi, Mukim Kubang Sawa, Muhamad Saidi Yunus berkata, banjir kali kedua ketika ini selepas bulan Mac lalu menyebabkan pekarangan masjid turut dinaiki air dan jemaah dari tiga buah kampung iaitu Kampung Kubang Sawa, Kuala Jambu dan Naga Ibu perlu menaiki bot untuk menunaikan solat Jumaat.

“Alhamdulillah, solat Jumaat dapat ditunaikan dengan sempurna hari ini meskipun masjid ini bagaikan pulau apabila digenangi air.

“Mujur air tidak masuk ke dalam masjid. Air banjir hanya beberapa sentimeter saja berada di tepi kawasan pekarangan masjid,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Masjid Ittihadi, Mukim Kubang Sawa hari ini.

Solat Jumaat di masjid itu diimamkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor, Wan Roslan Wan Hamat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri.

Mengulas lanjut, Muhamad Saidi berkata, kebiasaannya, jemaah yang menunaikan solat Jumaat di masjid itu dianggarkan seramai 200 orang, namun hanya 60 orang hari ini apabila kebanyakan penduduk telah berpindah ke pusat pemindahan banjir (PPS).

Sementara itu, Penduduk Kampung Kuala Jambu, Mohd Nazri Mohd. Nawi, 40, berkata, kampung tersebut terputus hubungan dengan jalan darat dan penduduk perlu menaiki bot untuk bergerak.

“Meskipun terpaksa menaiki bot dan meredah banjir, kami tetap datang untuk menunaikan solat Jumaat seperti biasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI