fbpx

Resort lestari tawar kedamaian alam tropika

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PRANA Resort Nandana di Pulau Koh Samui, Thailand menawarkan tempat penginapan bertaraf hotel butik.

PULAU Koh Samui, Thailand sentiasa menggamit pelancong dengan keunikan budaya, makanan serta pilihan destinasi yang pelbagai selain menepati cita rasa ramai.

Pulau kedua terbesar di Thailand selepas Phuket itu terkenal dengan pusat percutian pantai yang landai serta hembusan angin dingin mendamaikan.

Selepas dua tahun terkurung disebabkan pandemik Covid-19, pusat peranginan itu kembali meriah.

Ia semakin menjadi tumpuan pelawat dengan menyajikan pelbagai tarikan termasuk sebuah resort yang kian popular iaitu Prana Resort Nandana (PRN).

Menariknya, resort bertaraf hotel butik itu mempunyai reka bentuk unik kerana terbahagi kepada dua bahagian.

Satu bahagian dikenali sebagai sayap di tepi pantai yang menyajikan pemandangan laut membiru, manakala sebelah lagi terletak di seberang jalan.

Uniknya, resort tersebut terletak di pantai Bangrak yang tenang serta berada di tengah-tengah antara Big Buddha dan perkampungan nelayan terkenal.

Pengasas PRN yang juga usahawan kelahiran Malaysia, Datuk Seri Vijay Eswaran berkata, resort itu menggabungkan rekaan tradisional Thai dengan penggayaan moden yang unik.

Prana Resort Nandana menggabungkan konsep rekaan tradisional Thailand dengan penggayaan moden yang unik.

Ujarnya, resort itu menampilkan pencahayaan minimalis yang tembus ke dalam bangunan, kedudukan siling tinggi dan hiasan dalaman berinspirasikan anyaman bakul beralun.

“Resort ini memiliki 72 bilik yang dikelilingi taman-taman rimbun dengan flora tropika.

“Ia dijajari dengan gabungan pohon buluh dan rotan secara organik bersama persekitaran alam semula jadi,” ujarnya.

Pemandangan tepi pantai yang menarik.

Dalam pada itu, kemudahan dan aktiviti istimewa yang ditawarkan di PRN membolehkan tetamu menikmati penginapan santai, namun mengujakan.

“Misalnya di Amezcua Spa, ia menawarkan rawatan badan yang diulit dengan pendingin hawa dan pemandangan mengasyikkan.

“Pekarangan resort ini pula sesuai untuk majlis perkahwinan dan mesyuarat serta mempunyai sebuah kelab untuk kanak-kanak.

“Di samping itu, tetamu mempunyai pilihan aktiviti untuk mengisi masa dengan menyelam atau memilih ke kelas memasak hidangan Thai,” katanya.

Dekorasi unik yang dapat disaksikan

Beroperasi sebagai hartanah berkonsep hijau dan lestari, resort milik Kumpulan QI itu sentiasa memastikan tetamunya menikmati pengalaman terbaik sambil mengurangkan karbon.

“Sebagai langkah sokongan, resort ini menghapuskan penggunaan kertas dan bahan bercetak selain menggantikan semua barangan plastik dengan bahan mudah terbiodegradasi,” ujarnya.

“Kakitangan hotel juga terlibat dalam pembersihan pantai pada setiap hari bagi mengurangkan sampah dan mengelakkan plastik ‘bergulung’ di lautan,” katanya.

Disebabkan itu, PRN telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Green Hotel Standard (Emas) oleh Jabatan Promosi Kualiti Alam Sekitar Thailand di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Sementara itu, seorang pengunjung PRN, Anieta Abdullah dari Kuala Lumpur menyifatkan resort berkenaan menawarkan lokasi percutian yang sangat mempesonakan.

“Saya sangat teruja kerana sebaik membuka pintu bilik terus menghadap laut biru yang terbentang luas. Panorama pantainya juga sangat cantik dengan pasir memutih.

“Persekitaran hotel juga bersih dengan dikelilingi alam semula jadi yang menghijau, selain menawarkan sajian kulinari terbaik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI