fbpx

Perancangan pembangunan lapangan terbang di Perak tertakluk kajian NASP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saarani (kanan) bercakap pada sidang DUN di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, hari ini.

IPOH – Perancangan pembangunan lapangan terbang antarabangsa di Perak tertakluk kepada hasil kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kajian bermula 7 Mac lalu itu dijalankan ke atas 42 lapangan terbang sedia ada di seluruh negara dan dijangka dimuktamadkan pada 7 September tahun hadapan.

Jelas beliau, kajian di bawah Kementerian Pengangkutan itu memberi tumpuan kepada unjuran perkhidmatan penumpang dan kargo serta komitmen syarikat penerbangan yang ingin menggunakan lapangan terbang sedia ada.

“Malaysia terlampau banyak lapangan terbang, kalau terlalu rapat (lokasinya) susah juga kerana ia berhampiran.

“Oleh itu, Kementerian Pengangkutan sedang melakukan kajian berhubung keperluan pembinaan lapangan terbang baharu itu, sama ada ia benar-benar diperlukan dan memberi impak yang baik,” katanya pada sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Isu penjualan tanah lapangan terbang antarabangsa di negeri ini dibangkitkan oleh Angeline Koo Haai Yen (DAP-Keranji) yang mencadangkan kerajaan negeri membatalkan perjanjian, untuk diambil alih semula tapak itu bagi meneruskan projek berkenaan.

Mengulas lanjut beliau berkata, tanah itu bukan lagi tanah kerajaan tetapi tanah milik yang telah diberikan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) di mana perjanjian jual beli telah pun dimeterai.

Jelasnya, pembinaan lapangan terbang baharu di Perak amat diperlukan kerana ia diyakini dapat meningkatkan limpahan ekonomi di negeri ini.

Bahkan katanya, kerajaan negeri juga berhasrat menyediakan tapak bagi membolehkan lapangan terbang baharu dibina berikutan tanah sedia ada sudah dijual. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI