fbpx

Mahkamah: Dana RM1 juta bayar balik wang pencen Shahrir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, wang RM1 juta daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Tan Sri Shahrir Ab. Samad bertujuan membayar balik wang peribadi yang telah didahulukan oleh bekas Pengerusi Felda itu untuk melaksanakan aktiviti politik di kawasan Parlimen Johor Bahru.

Penolong Penguasa Nurzahidah Yacop, 35, berkata, Shahrir ketika disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan, beliau membuat permohonan lisan bagi mendapatkan dana daripada Najib ketika bertemunya di Pejabat Perdana Menteri, sembilan tahun lalu.

Menurut pegawai penyiasat SPRM itu, Shahrir memberitahu bekas Perdana Menteri bahawa dana berkenaan bagi menggantikan wang pencen yang telah digunakan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Johor Bahru bagi penduduk kawasan itu.

Ketika pemeriksaan utama pada 14 Disember lalu, Nurzahidah memberitahu mahkamah, Najib menulis dan menandatangani cek AmIslamic milik beliau dan menyerahkannya sendiri kepada Shahrir pada 27 November 2013 di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Nurzahidah yang juga saksi pendakwaan ke-22 memberi keterangan pada perbicaraan bekas Pengerusi Felda yang didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan.

Pegawai penyiasat itu selanjutnya menyatakan, Shahrir memberitahu dana RM1 juta antaranya bagi menggantikan wang peribadi beliau yang digunakan untuk melaksanakan Projek Pemulihan Perumahan Puri Langkasuka (Seri Anugerah) Larkin, Johor Bahru.

Ketika disoal balas oleh peguam Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah, Nurzahidah bersetuju Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak dapat menentukan sama ada dana RM1 juta itu merupakan pendapatan Shahrir kerana agensi itu tidak mendapat dokumen sewajarnya.

Saksi juga bersetuju bahawa pegawai atasan SPRM mencadangkan pertuduhan terhadap Shahrir tanpa mendapat input atau pengesahan LHDN sama ada dana RM1 juta itu merupakan pendapatan atau sebaliknya.

Nurzahidah selanjutnya bersetuju bahawa beliau telah menunjukkan borang cukai taksiran 2013 hingga 2018 milik Shahrir kepada pegawai atasan dan mereka (pegawai) mencadangkan untuk mendakwa Shahrir atas pertuduhan itu walaupun tiada penentuan sama ada RM1 juta merupakan pendapatan atau sebaliknya.

Menurut Nurzahidah, beliau perlu akur dengan arahan pegawai atasan walaupun beliau mencadangkan Shahrir didakwa atas lima pertuduhan lain.

Nurzahidah turut mengaku beliau bukan pihak yang mahir untuk menentukan sama ada dana RM1 juta itu merupakan pendapatan tertuduh.

Saksi turut ditanya oleh Syed Faisal Al-Edros sama ada beliau menerima borang cukai taksiran 2013 hingga 2018 milik Shahrir daripada Timbalan Ketua Unit Audit Meja Selebriti, Penghibur Awam dan Pelbagai, Bahagian Penaksiran LHDN Tuan Zulkfli Tuan Lah pada 13 Januari 2020.

Nurzahidah berkata, beliau ada menerima borang tersebut dan keterangan diambil daripada Tuan Zulkfli berkaitan penerimaan wang RM1 juta.

Bagaimanapun, Nurzahidah bersetuju dengan cadangan peguam bahawa beliau tidak menyerahkan sebarang dokumen sewajarnya mengenai penerimaan RM1 juta kepada Tuan Zulkfli semasa merekodkan keterangannya.

Saksi juga bersetuju bahawa oleh kerana beliau tidak dapat mengemukakan dokumen sewajarnya kepada LHDN, maka agensi itu tidak boleh melaksanakan sembilan langkah wajar untuk menyemak status wang RM1 juta yang diterima Shahrir.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung esok. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI