fbpx
Ladang madu kelulut milik komuniti Persatuan Penduduk Presint 15H4 sering menerima kunjungan pelawat luar.

Ladang kelulut komuniti Presint 15H4 tarikan pelancong di Putrajaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DARI kejauhan dapat dilihat kedua-dua belah tangan lelaki berusia lewat 40-an itu ligat mengendalikan sarang madu kelulut di dalam sebuah lot kotak kayu berbentuk segi empat tepat.

Meskipun pagi itu hujan turun renyai-renyai, namun ia langsung tidak mengganggu tugas lelaki yang sedang mengambil madu kelulut tersebut.

Untuk makluman, kelulut adalah lebah tidak bersengat yang menghasilkan madu sama seperti madu lebah.

Setiap gerak kerja Dr. Zaini Zainol begitu tertib seperti sudah terbiasa dengan tugas mengumpulkan madu lebah kelulut itu.

Hakikatnya, Zaini merupakan seorang pensyarah di Fakulti Perakaunan,Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Pada masa sama, dia adalah salah seorang ahli jawatankuasa (AJK) Persatuan Penduduk Presint 15H4, Putrajaya yang bertanggungjawab membangunkan projek penternakan kelulut secara kecil-kecilan.

Mula dibangunkan sejak 2016, projek penternakan kelulut itu diusahakan di Taman Rimba Alam, Presint 15.

Menariknya, ia mendapat kelulusan dan kerjasama strategik daripada Perbadanan Putrajaya (PPj) dan agensi seperti Pertubuhan Peladang Kawasan Putrajaya, Kementerian Pertanian dan Jaminan Makanan serta Putrajaya Holdings.

Dibangunkan di kawasan seluas tiga ekar, Zaini berkata, projek tersebut diuruskan sepenuhnya oleh komuniti Persatuan Penduduk Presint 15H4.

“Pada asalnya, kawasan penternakan madu kelulut ini dibersihkan dan dibangunkan bagi mengelakkan ancaman haiwan liar seperti babi dan monyet terhadap penduduk setempat.

“Memandangkan bentuk muka buminya yang sedikit berbukit, ia memberi idea kepada para penduduk di sini bagi membuka sebuah ladang ternakan madu kelulut.

“Pada awal pembukaan, hanya ada beberapa lot tunggul (tempat peternakan lebah) sahaja. Setelah beberapa tahun beroperasi, kini kami mempunyai lebih 120 lot tunggul,” katanya membuka bicara bersama K2.

Zaini ditemui ketika sesi lawatan produk pelancongan anjuran Tourism Malaysia bersama wakil agensi pelancongan dan media pada program Discover Putrajaya baru-baru ini.

ZAINI (dua dari kanan) memberi penerangan ringkas mengenai madu kelulut kepada wakil media yang menyertai program Discovery Putrajaya baru-baru ini.

Berkongsi lanjut, Zaini memberitahu, kerja-kerja mengumpulkan madu dilakukan sebulan sekali.

Katanya, tiada musim tertentu diperlukan bagi kelulut menghasilkan madu dan hasilnya boleh diperolehi sepanjang tahun.

“Biasanya, kami akan turun ke ladang pada setiap hari. Kami tiada jadual khas kerana masing-masing turut bekerja. Ia lebih kepada sukarela dan tidak terikat dengan masa.

“Boleh dikatakan saban hari juga kami datang ke ladang ini untuk membersihkan kawasan. Bagi madu pula, biasanya kami akan kutip setiap empat minggu.

“Bagi satu lot sarang, kami boleh mengumpul kira-kira 400 hingga 500 mililiter madu setiap kali sesi tuaian.

“Cuma sekarang ini musim hujan dan lembap, jadi hasil madu sedikit berkurangan berbanding biasa,” ujar lelaki yang berasal dari Bera, Pahang itu.

Zaini juga memaklumkan, jumlah isipadu madu yang terhasil bergantung kepada faktor cuaca dan aktiviti kelulut itu sendiri.

“Lebah kelulut ini juga bijak seperti manusia. Kalau hari hujan dan lembap, maka kuranglah kelulut ini terbang dan hinggap pada bunga bagi mencari makanan.

“Di sini, kami ada dua spesies lebah kelulut yang diternak iaitu heterotrigona itama dan thora bee.

“Spesies pertama menghasilkan madu berasa manis, sebaliknya yang kedua madu dihasilkan sedikit masam,” katanya lagi.

TUKIJAH menunjukkan proses menapis madu kelulut yang baru diambil dari sarang.

Sementara itu, seorang lagi AJK persatuan penduduk berkenaan yang ingin dikenali sebagai Tukijah berkata, tapak projek mereka sentiasa dikunjungi pengunjung dari dalam dan luar negara.

Jelasnya, selain ingin merasai keenakan madu kelulut secara terus dari ladang, pengunjung juga mahu melihat dan melakukan sendiri proses mendapatkan madu tersebut.

“Sejak dibuka kembali selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan tempoh hari, ladang kelulut kami mula dibanjiri ramai pengunjung.

“Daripada pelajar sekolah hinggalah peminat tegar madu kelulut dan pelancong, semuanya datang ke sini bagi melihat serta merasai madu ini.

“Ada juga yang membuat tempahan madu secara atas talian melalui laman Facebook rasmi kami. Cukup masa mereka datang ambil di sini,” ujarnya.

Ditebak dari segi jualan madu kelulut dan maklum balas pengunjung, Tukijah berkata, hasil jualan produk itu amat memberangsangkan serta diterima baik ramai pihak.

Tuturnya, hasil jualan madu kelulut bagi setiap bulan boleh mencecah lebih daripada RM2,000 dengan anggaran jualan purata 40 hingga 50 botol.

“Kami jual madu kelulut pada harga RM40 sebotol. Biasanya, kami buat jualan combo iaitu tiga botol pada harga RM100.

“Ketika ini, madu kelulut digemari ramai tanpa mengira usia. Ini kerana, ia mudah diperolehi berbanding madu-madu lain,” katanya.

Sementara itu, dalam usaha memperkenalkan produk pelancongan di Putrajaya termasuk ladang ternakan madu kelulut tersebut, Tourism Malaysia dengan kerjasama PPj telah menganjurkan program Discover Putrajaya.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Zainuddin Abdul Wahab berkata, penganjuran program Discover Putrajaya merupakan salah satu usaha pihaknya dalam meningkatkan promosi pelancongan domestik.

Jelasnya, ia selari dengan aspirasi kerajaan untuk terus memperkukuhkan sektor pelancongan dalam negara di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan 2022.

“Melalui lawatan dan bengkel pembangunan pakej pelancongan ini, para peserta dapat merasai sendiri pengalaman melawat serta mendapatkan maklumat secara terperinci mengenai produk pelancongan dilawati.

“Usaha ini diharap dapat membantu menambah baik tawaran pakej yang ditawarkan agar bersesuaian dengan trend pelancongan terkini.

“Sebagai sebuah bandar yang menempatkan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan, promosi pelancongan Putrajaya harus dipertingkatkan selari dengan visi Putrajaya Mampan dan ke arah Global City,” katanya.

Tambahnya, Discovery Putrajaya juga bertujuan memastikan inisiatif berterusan dalam mempromosikan produk-produk pelancongan menarik dan unik di sekitar Putrajaya.

Ulasnya lebih lanjut, promosi berkenaan boleh dilakukan menerusi pembangunan serta penjualan pakej oleh agensi-agensi pelancongan yang berdaftar dengan Tourism Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN