fbpx
AFGAN

Kehangatan Afgan melerai rindu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JARAK empat tahun bukan tempoh yang singkat untuk penyanyi berlesung pipit itu kembali menghiburkan peminatnya di Malaysia.

Selepas melalui fasa sukar terutama berdepan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia, penghibur terkenal Indonesia, Afgan kembali menghadiahkan vokal merdunya untuk peminat di Kuala Lumpur.

Jujurnya, konsert Afgan Evolution Kuala Lumpur yang berlangsung di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 17 Disember lalu meninggalkan mimpi indah buat 2,800 peminat dengan sebuah persembahan membuai jiwa.

Sepanjang tempoh dua jam persembahan berlangsung, penyanyi berusia 33 tahun itu bukan sahaja hebat dalam nyanyian, tetapi bijak menarik perhatian peminat dengan lelucon spontan sehingga menggeletek hati.

“Apa khabar Malaysia. Saya rindu kamu semua. Kamu rindu saya tak?

“Saya sangat suka buat konsert di sini. Jom kita ‘lepak-lepak’ sahaja malam ini,” ucap Afgan apabila cuba bercakap seperti cara orang Malaysia.

AFGAN tidak kelihatan lelah sewaktu menyampaikan seleksi 23 buah lagu popularnya dalam konsert Afgan Evolusion Kuala Lumpur pada 17 Disember lalu.

Fanatik

Pentas persembahan dibuka dengan teriakan kencang penonton saat penghibur dengan nama lengkap Afgan Syahreza itu tampil mendendangkan tiga lagu berbahasa Inggeris miliknya iaitu M.I.A, Say I’m Sorry dan Bad.

Suasana bersimbah pancaran lampu neon warna merah menyemarakkan lagi persembahan lelaki berwajah manis itu apabila turut mempamerkan aksi menari menerusi dendangan lagu Knock Me Out.

Ketika berinteraksi dengan peminat, Afgan tidak menunjukkan rasa janggal, bahkan kelihatan lebih selesa bercakap dalam bahasa Inggeris yang lancar meniti di bibirnya.
Seperti yang dinanti-nantikan, Afgan terus mengajak penonton untuk sama-sama menyanyikan lagu ‘wajib’ antaranya Jodoh Pasti Bertemu, Terima Kasih Cinta, Bukan Cinta Biasa, Pendam dan Sudah.

Suasana menjadi tidak terkawal apabila ada peminat fanatik mula meninggalkan tempat duduk masing-masing dan meluru ke depan pentas untuk bergambar dan melihat penyanyi kesayangan mereka dari jarak dekat. Bahkan juga, ada yang sanggup memeluk Afgan tanda keterujaan.

Namun, Afgan bijak mengawal keadaan dan meneruskan nyanyian seperti biasa dengan bantuan petugas keselamatan bagi mengelak keadaan menjadi semakin tidak terkawal.

AFGAN mahu membuka lembaran 2023 dengan mencabar diri mencipta nama sebagai penyanyi di Amerika Syarikat.

Kagumi Sheila Majid

Kehangatan malam konsert berterusan saat Afgan mengajak penonton menari bersama-sama dengan seleksi lagu-lagu rancak seperti Panah Asmara dan Sinaran dendangan asal penyanyi Datuk Sheila Majid.

Bahkan, penyanyi legenda tanah air itu juga turut hadir menyaksikan konsert Afgan. Memaksimumkan peluang depan mata, Afgan bertindak turun dari pentas menyapa

Sheila dan meminta penyanyi itu menghadiahkan suaranya menerusi dendangan lagu Ku Mohon.

“Terima kasih kak Sheila sudi hadir ke konsert saya. Beliau merupakan seorang penyanyi dan kakak yang sangat saya hormati,” ucap Afgan.

Ketika konsert memasuki babak akhir, Afgan sempat mengungkapkan, perjalanan seninya selama 14 tahun sebagai penyanyi bukan suatu hal yang mudah dan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

“Selama 14 tahun perjalanan yang bukan mudah bagi saya yang tidak dapat digambarkan. Tapi saya bersyukur kerana mempunyai peminat seperti anda semua.

“Terima kasih kerana menghargai muzik yang saya bawakan. Saya sayang anda semua,” lentur Afgan.

Menerusi sesi bertemu media sehari sebelum konsert, Afgan turut mengungkapkan 2023 dianggap sebagai tahun untuknya mencipta langkah lebih jauh sebagai anak seni dengan meneroka peluang menyerlah di arena antarabangsa.

PENYANYI berbintang Gemini, Afgan mengakui sangat merindui peminat di Malaysia selepas kali terakhir menjejakkan kaki di Kuala Lumpur sekitar empat tahun lalu. – AMIR KHALID & RENJANA IDEA

Pasaran AS

Menyaksikan rakan seperjuangan berjaya menembusi pasaran luar hingga ada yang sedia berhijrah terutama di Amerika Syarikat (AS) membulatkan niat Afgan mencabar diri.

“Album Inggeris Wallflower yang dihasilkan ketika musim pandemik tahun lalu antara ‘bekal’ untuk saya bawa ke Los Angeles atau San Francisco nanti.

“Jika tidak sekarang bila lagi? Saya sudah merencanakan perkara ini sebelum fasa pandemik lagi, jadi inilah masanya, malah saya juga bakal mengadakan konsert jelajah Asia tahun depan,” katanya.

Enggan menyekat laluan terbentang, Afgan turut terbuka memenuhi tawaran lakonan yang sebelum ini dipendamkan berikutan kekangan masa.

“Sejujurnya fasa berdepan kemurungan yang memerlukan saya mendapatkan bantuan pakar terapi membawa hikmah tersendiri kepada perkembangan kerjaya serta visi saya.

“Seakan-akan disuntik semangat baharu, lakonan juga berada dalam radar untuk saya berani meneroka cabang seni lain yang juga menyerlahkan sisi berbeza saya.

“Jadi, tahun depan peminat mungkin sudah dapat mengikuti aksi saya membawakan peranan sebelum saya sibuk dengan misi ke luar negara,” ungkapnya yang tidak lagi berkaca mata selepas menjalani prosedur lasik pada Mac lalu.

KONSERT Afgan Evolution Kuala Lumpur yang berlangsung di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 17 Disember lalu meninggalkan mimpi indah buat 2,800 peminat di Malaysia.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN