fbpx

ECRL 3.0 jimat RM11.01 bilion hasil semakan kontrak 2019, 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Penjimatan RM11.01 bilion bagi kos pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) 3.0 berjaya dicapai hasil rundingan semula kontrak yang dimuktamadkan pada tahun 2019 dan 2022.

Kementerian Pengangkutan berkata, beberapa faktor termasuk pelaksanaan Kejuruteraan Nilai (VM) yang menyeluruh dan penjajaran semula landasan ECRL pada Seksyen C (Temerloh- Serendah-Pelabuhan Klang) telah menyumbang kepada pengurangan kos pembinaan keseluruhan.

Menurutnya, pada kos akhir pembinaan sebanyak RM74.96 bilion, rakyat Malaysia kini dapat menikmati Projek ECRL yang telah ditingkatkan nilainya bagi perkhidmatan penumpang dan kargo.

“Secara dasarnya, pembinaan ECRL membabitkan laluan rel sepanjang 665 kilometer (KM) dari Kota Bharu ke Pelabuhan Klang dengan pembinaan 20 stesen.

“Turut dibina adalah Serendah Bypass yang melancarkan pergerakan kargo dari utara serta pemanjangan rel dari Stesen Jalan Kastam ke kedua-dua terminal Westport dan Northport.

“Kementerian ingin menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sokongan berterusan untuk memastikan ECRL dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan,” katanya menerusi kenyataan akhbar, hari ini.

Katanya, sebagai perbandingan, kos keseluruhan (TDC) ECRL 3.0 dianggarkan berjumlah RM74.96 bilion di mana kos pembinaan pula jauh lebih rendah iaitu sebanyak RM50.27 bilion.

Jelasnya lagi, kos pembangunan lain seperti faedah semasa pembinaan (IDC) pengambilan tanah, pemindahan utiliti dan yuran sambungan dan perbelanjaan mengurus pula adalah berjumlah RM24.69 bilion.

Bagi ECRL 1.0 pula, TDC dianggarkan adalah RM85.97 bilion merangkumi kos pembinaan sebanyak RM66.78 bilion dan kos pembangunan lain seperti IDC, pengambilan tanah, pemindahan utiliti dan yuran sambungan dan perbelanjaan mengurus berjumlah RM19.19 bilion.

Justeru, perbezaan TDC antara ECRL 1.0 dan ECRL 3.0 menghasilkan penjimatan sebanyak RM11.01 bilion.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan untuk meneruskan ECRL dengan sedikit pertambahan pembiayaan berikutan laluan baharu, namun kos keseluruhan ECRL lebih rendah berbanding kos keseluruhan asal RM85.97 bilion pada 2016. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI