fbpx
EIZLYNN

Selamat tinggal Ezlynn yang dahulu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

EZLYNN, sepotong nama yang suatu ketika dahulu pernah mencetuskan fenomena dalam industri muzik tanah air.

Imej dan penampilannya yang ranggi, berambut keriting dan lincah menari sewaktu membuat persembahan di atas pentas, menjadi identiti figura bersuara nyaring itu ketika beraksi.

Lagu berhantunya, Hi Hi Bye Bye begitu melekat dalam ingatan pendengar sehingga menjadi siulan anak muda.

Selain Hi Hi Bye Bye, penyanyi kelahiran Ulu Kinta, Perak itu juga mempunyai seleksi lagu lain yang tidak kurang enaknya, termasuklah Cinta Pura-Pura, Pening, Sengsara, Entah Bila? dan Jikalau Aku yang sehingga kini masih diputarkan menerusi corong radio.

Kesempatan bertemunya dalam sebuah majlis anjuran pasangan pelakon, Lisdawati dan Fauzi Nawawi baru-baru ini, pemilik nama lengkap Azline Ariffin itu tak lokek diajak bercerita. Kekal jelita diserikan aura ‘hijrah’, ada perkhabaran yang Ezlynn kongsikan.

EZLYNN melatih untuk bersyukur dan reda jika sudah ditakdirkan hidup hanya menumpang kasih anak tiri tanpa dikurniakan zuriat sendiri.

Bahagia

Dalam senyum manis, wanita yang kembali bergelar isteri buat kali kedua bersama penderma hati pertama negara, Wan Mohd. Hafizam Wan Ismail pada 11 September 2021 itu bersyukur perkahwinannya masih bersulam kemanisan walaupun sering berjauhan dengan suami.

“Alhamdulillah kehidupan peribadi saya baik-baik sahaja walaupun suami jarang ada di Kuala Lumpur sebab dia banyak berada di luar kawasan. Kejap ke Kelantan, kejap ke Perlis.

“Untuk kerjaya seni pula, saya masih aktif menyanyi dan berlakon. Kadang-kadang, ada juga buat pengacaraan untuk majlis tertutup, selain aktif dalam perniagaan tudung,” katanya.

Disoal tentang kehadiran zuriat dalam mewarnai lagi kehidupannya sebagai isteri, Ezlynn akur rezeki untuk menimang cahaya mata belum memihak kepadanya.

Namun penyanyi berusia 40 tahun itu tidak pernah berhenti mencuba untuk dikurniakan anak suatu hari nanti.

“Soal anak, belum ada rezeki lagi. Insya-Allah doakan saya dan suami.

“Saya ada tiga orang anak tiri (anak suaminya dengan isteri pertama) dan kami tidak terfikir untuk lakukan rawatan persenyawaan in vitro (IVF).

“Saya dan suami memang sentiasa mencuba untuk dapatkan zuriat sendiri,” ujarnya.

MENJALANI perubahan imej yang kini lebih sopan dan bertudung litup, Ezlynn masih aktif menyanyi, namun mengingatkan dirinya tentang batas-batas yang perlu dijaga. – SADDAM YUSOFF

Menumpang kasih

Jika ditakdirkan tiada rezeki dikurniakan zuriat sama seperti perkahwinan pertamanya, wanita itu reda bahkan bersyukur kerana masih dipinjamkan anak-anak tiri untuk menumpang kasih.

“Anak tiri saya ada tiga orang berusia sembilan, 11 dan 21 tahun. Kehadiran mereka pun sudah memadai jika saya tidak mempunyai anak sendiri. Tidak mengapa. Sekurang-kurangnya bolehlah juga saya menumpang kasih sayang mereka.

“Tentang penerimaan anak-anak tiri pula, biasalah. Saya sebagai orang baharu, kena perlahan-lahan untuk diterima mereka. Insya-Allah suatu hari nanti pasti semuanya akan baik-baik sahaja,” ujarnya.

Seiring perubahan imejnya yang kini berhijab, penyanyi Ezlynn menetapkan pendirian untuk mengelak daripada merakamkan lagu-lagu berkisarkan percintaan untuk single baharunya pada masa akan datang.

Menyentuh tentang perubahan imejnya yang semakin manis berhijab, Ezlynn mengakui masih orang yang sama seperti dahulu. Begitu pun, ada batas tertentu yang perlu dijaga sesuai dengan usia dan statusnya sebagai isteri.

Jika dahulu dia ceria dan lincah ketika menyanyi di atas pentas, namun selepas mengambil keputusan berhijab, dia perlu mengawal diri supaya tidak dipandang pelik oleh masyarakat.

Dahulu, Ezlynn juga memberikan tenaga dan staminanya 100 peratus, namun kini hanya 20 peratus sahaja pergerakan yang dipamerkan ketika menyanyi di atas pentas.

PENYANYI berusia 40 tahun ini sentiasa berdoa agar dirinya kekal istiqamah untuk kekal dengan imej berhijab.

Batasan

“Semua orang tahu bentuk persembahan saya bagaimana. Kalau dahulu, pergerakan (menari) yang saya beri 100 peratus. Tapi sekarang tinggal 20 peratus sahaja.

“Alhamdulillah suami masih izinkan saya untuk membuat persembahan pentas. Cuma dia ingatkan saya tentang batas-batas yang perlu dijaga seperti pakaian dan pembawakan diri.

“Menyanyi boleh, tapi menari perlu dikurangkan,” katanya.

Lama tidak hadir dengan buah tangan baharu, Ezlynn mengakui teringin untuk merakamkan sebuah single, namun menetapkan karya yang akan dihasilkan itu mestilah berbentuk kerohanian dan dakwah ke jalan Allah SWT.

Bukan mahu menampilkan imej diri seumpama ustazah, tapi bagi Ezlynn, dia tidak lagi mahu menyanyikan lagu-lagu berbaur percintaan. Konsep sebegitu juga juga tidak lagi sesuai dengan imejnya.

“Saya memang teringin untuk rakam single baharu. Cuma saya mahu lagu berunsur ketuhanan dan kerohanian.

“Lagu yang memberi nasihat untuk ke arah menyebarkan agama Allah SWT. Tak nak lagi lagu-lagu cinta,” katanya

Ujar bekas peserta program Gegar Vaganza musim kedua (GV2) itu lagi, terdapat pihak menawarkan dirinya untuk merakamkan sebuah single baharu, namun terpaksa menolaknya kerana enggan menyanyikan lagu bersifat duniawi.

“Ada yang menawarkan saya untuk rakam lagu baharu, tapi kalau lagu ‘biasa’ Saya tak nak. Lagu cinta-cinta pun saya tak nak. Cukuplah, saya cuba untuk elakkan,” katanya.

Mahu kekal istiqamah bukanlah suatu hal yang mudah, Ezlynn berkata keputusannya untuk berhijab bukan sekadar bagi menutup aurat, tapi mengubah penampilan dan kelakuannya secara keseluruhan.

“Kalau boleh saya mahu ikut syariah Islam yang sebenar. Tapi secara perlahan-lahan, bukan terlalu drastik.

“Insya-Allah, doakan saya terus istiqamah,” ujarnya menutup kata.

JIKA diberi peluang merakamkan single pada masa akan datang, Ezlynn memilih untuk menyanyikan lagu-lagu berbentuk ketuhanan dan enggan lagi menyanyikan lagu berbaur percintaan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN