KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) mengakui negara masih belum ada pemetaan risiko bagi menghadapi bencana yang sistemik.
Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, pihaknya memang tidak menafikan perkata tersebut.
“Tidak dapat dinafikan kita memang ketinggalan, tetapi saya tidak boleh komen lanjut mengenai perkara itu.
“Tetapi melalui guide line (garis panduan) yang kita keluarkan juga tidak boleh membina apa-apa yang berkaitan berhampiran cerun,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Hari Frosesion Teknikal Negara di sini semalam.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, Malaysia masih ketinggalan dan gagal dalam melakukan pemetaan risiko bagi menghadapi bencana yang sistematik walaupun kerap berdepan dengan pelbagai malapetaka besar seperti banjir dan tanah runtuh sehingga meragut banyak nyawa.
Ia berbeza dengan negara lain yang sudah melangkah ke hadapan dalam membuat persediaan menghadapi bencana bagi mengelakkan banyak nyawa melayang ekoran tragedi alam semulajadi yang berlaku.
Wan Ahmad memberitahu, sebuah buku garis panduan bencana tanah runtuh telah dibuat oleh KKR bagi memudahkan pihak berkuasa tempatan melaksanakan panduan risiko bencana di kawasan berisiko.
“Selepas daripada ini semua, pembangunan dalam majlis harus mengikut garis panduan yang merujuk kepada buku ini.
“Ini kerana di sini kita ada memaklumkan mengenai kawasan merah yang tidak boleh membuat sebarang pembangunan,” ujarnya.
Wan Ahmad berkata, KKR juga telah mengesan sejumlah 1,045 cerun yang dikategorikan sebagai amat berbahaya di sepanjang Jalan Persekutuan di Semenanjung setakat ini.
“Tiada pembangunan dibenar dibangunkan di kawasan berisiko tinggi itu,” tegasnya.














