fbpx

Dedah dipukul bekas kekasih, Diana Danielle serba salah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Enggan memanjangkan isu, pelakon Diana Danielle tampil membuat penjelasan, tiada niat mahu mengungkit kisah lama menerusi pendedahan pernah dipukul bekas teman lelaki yang tular baru-baru ini.

Menurut aktres berusia 31 tahun itu, perkongsian tersebut sekadar perbualan bersama pelakon Amelia Henderson dalam sebuah program. Dia juga tidak menyangka perkara berkenaan mencuri perhatian ramai.

Impaknya, isteri kepada aktor Farid Kamil itu mengakui didatangi perasaan serba salah atas keterlanjuran berkongsi peristiwa lama tersebut kepada umum.

“Saya hanya berkongsi dan bukan berniat nak ungkit kisah lama apatah lagi ingin mencari gaduh dengan orang lain.

“Sebenarnya wujud rasa serba salah selepas berkongsi mengenai perkara itu kerana saya tak maksudkan sesiapa. Tidak boleh salahkan orang lain jika perkara itu diperkatakan sebab saya sendiri yang memulakannya,” katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini.

Bukan kali pertama, Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson memberitahu dia pernah berkongsi kejadian tersebut kepada umum sekitar 10 tahun lalu.

Malah, dia juga terkejut apabila ramai yang memberi respons positif terhadap perkara yang dikongsi.

“Sebenarnya saya pernah mendedahkan perkara ini sekitar 10 tahun lalu tetapi mungkin ramai peminat muda yang tidak mengetahui tentangnya.

“Selepas berkongsi perkara itu, ramai yang mesej secara peribadi dan berterima kasih kerada perkara tersebut memberi semangat kepada mereka menghadapi situasi serupa,” katanya lagi.

Ditanya mengenai respons suami mengenai hal tersebut, Diana memberitahu Farid memahami pendedahan tersebut dilakukan atas dasar kerja.

“Dia faham itu pengalaman saya dan kami memang tiada perbincangan mengenai hal ini.

“Farid seorang yang tenang dan okey sebab dia tahu saya tiada niat untuk menjatuhkan mana-mana pihak,” jelasnya yang ditemui pada majlis pelancaran koleksi Rizman Ruzaini RR Cruise 22/23 di RR Flagship Store di Shoppes at Four Season Place, sebentar tadi.

Terdahulu, aktres kacukan Melayu-Inggeris itu mencuri perhatian ramai apabila secara terbuka berkongsi pengalamannya didera secara fizikal oleh bekas kekasih yang tidak didedahkan identitinya.

Menerusi perkongsian dalam program Studio Sembang bersama Amelia Henderson, dia memberitahu pernah dipukul sehingga mengalami bengkak pada bahagian leher.

Tidak lama selepas putus dengan bekas kekasih, Diana dan Farid berkahwin pada 2012 dan hasil perkongsian hidup selama sedekad, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata bernama Muhammad dan Nur Aurora. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI