fbpx

Bandar terapung ‘ikan pari’ boleh belayar di lautan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
City of Meriens mampu menampung sehingga 7,000 orang. - SeaOrbiter/Jacques Rougerie

PARIS – Beberapa imej sebuah ‘kapal bandar terapung’ yang berbentuk seperti ikan pari telah didedahkan dengan rekaan tersebut dikatakan mampu menampung beribu-ribu orang dalam satu masa, lapor akhbar The Sun semalam.

Rekaan dinamakan City of Meriens itu dibangunkan untuk belayar ke seluruh dunia sambil berfungsi sebagai pusat penyelidikan dan pembelajaran bagi mereka yang ingin meneroka kehidupan marin.

Ia mampu menampung sehingga 7,000 orang serta menyediakan pelbagai kemudahan penyelidikan dan sains sambil belayar di laut terbuka.

Arkitek dari Perancis, Jacques Rougerie berkata: “Saya mereka cipta City of Meriens dalam bentuk ikan pari manta kerana ia merupakan rekaan terbaik bagi menempatkan komuniti tersebut.

“Ia dibangunkan untuk penyelidik, ahli akademik serta pelajar yang ingin menerokai kehidupan marin.”

Tambah Rougerie, bandar terapung itu akan mengalu-alukan kedatangan penumpang dari seluruh dunia serta dikawal selia mengikut standard Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Ia akan merevolusikan dunia kajian bawah air kerana orang ramai boleh berhubung terus dengan laut serta mempunyai akses terus kepada dunia bawah air disebabkan City of Meriens berada di bawah air,” ujar Rougerie.

Sebaik sahaja dibina, kapal tersebut akan mempunyai panjang keseluruhan 900 meter (m) dan lebar 500 m. Bahagian dalamnya akan menampung kapal penyelidikan sepanjang hingga 90 m.

Terdapat juga pelan untuk menyediakan dewan-dewan kuliah, makmal, kawasan tempat tinggal, aktiviti kebudayaan serta zon sukan.

City of Meriens akan berada di bawah naungan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menerusi Suruhanjaya Oseanografi Antara Kerajaan.

Rougerie mula merancang konsep bionik dan biomimetik tersebut 13 tahun lalu dan yakin ia akan beroperasi menjelang 2050. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI