fbpx

Jamal Abdillah undur diri Ahli Dewan Tertinggi MN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAMAI peminat termasuk keluarga menggesa Jamal Abdillah mengundur diri dari Muafakat Nasional.

PETALING JAYA – Genap 48 jam diumumkan sebagai Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN), Datuk Jamal Abdillah memilih untuk berundur dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut, semalam.

Keputusan tersebut dilakukan Jamal selepas merasakan bertentangan prinsip dirinya.

Penyanyi yang digelar Raja Pop itu berkata, sebagai penghibur dia perlu bersifat berkecuali membabitkan hal semasa dengan melontarkan pendapat peribadi tanpa mewakili mana-mana pihak.

“Saya dengan rasa rendah diri ingin menarik diri kerana politik tidak sesuai dengan prinsip saya sebagai penghibur.

“Saya menginginkan semua orang menyukai saya (kerana) peminat saya juga berada dalam pelbagai parti politik. Ramai meminta saya menarik diri.

“Keluarga, sahabat dan peminat juga mohon saya melakukan itu (berundur). Saya pun berpendapat lebih baik saya neutral dan kalau ingin melontarkan pandangan, biarlah dengan cara tersendiri,” katanya.

Begitupun, Jamal, 63, mengakui pelawaan MN membuatkannya terharu, malah pada masa sama dia akan terus memberikan sokongan kepada sesiapa saja yang memperjuangkan kemakmuran Malaysia.

“Setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada pihak-pihak yang menjemput saya menyertai MN selain menaruh keyakinan terhadap diri saya.

“Sebagai bapa dan ketua keluarga, tiada lain yang saya inginkan untuk negara tercinta melainkan keamanan, bersatu padu, makmur dan sejahtera,” ulasnya lagi.

Sebelum ini, penyanyi Sepi Seorang Perindu itu menyambut baik pelantikannya sebagai antara 30 individu yang dipilih sebagai Ahli Dewan Tertinggi MN.

Malah dedahnya, Presiden MN, Tan Sri Annuar Musa sendiri mengundang dirinya untuk menyertai NGO berkenaan.

Berdasarkan rekod, Ahli Dewan Tertinggi pertubuhan tersebut terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk profesional, ahli akademik, pempengaruh dan artis.

Selain Jamal, aktres Ummi Nazeera serta pelakon, Datuk Eizlan Yusof turut berada dalam senarai tersebut yang disebut Anuar bagi membantunya menggerakkan NGO berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI