fbpx

PPZ-MAIWP, MyIPO bina surau Kolej Vokasional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razali (dua kiri) menyerahkan sumbangan pembinaan surau KVERTS berjumlah RM495,000 kepada Timbalan Pengarah Kanan Kluster Pembangunan Kurikulum dan Program TVET (BPLTV), Zulkernai Fauzi.

KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) hari ini menyerahkan sumbangan RM495,000 bagi pembinaan surau Kolej Vokasional ERT Setapak (KVERTS).

Sumbangan daripada dana wakalah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) tersebut bertujuan menggantikan sebuah kelas yang dijadikan surau untuk pelajar lelaki dan surau perempuan yang terletak di asrama dengan kapasiti terhad.

“Melihat kepada keperluan semasa KVERTS, PPZ-MAIWP berkolaborasi bersama MyIPO menyerahkan sumbangan RM495,000 melalui dana wakalah syarikat MyIPO bagi pembinaan surau untuk keselesaan murid dan guru-guru melakukan aktiviti ibadah dan keagamaan.

“KVERTS turut berhasrat agar surau yang bakal dibina ini dapat menjadi sebuah pusat komuniti untuk diadakan pelbagai aktiviti pelajar dan kakitangan. Pembinaan surau ini dijangka siap awal tahun 2024,” kata PPZ-MAIWP dalam satu kenyataan hari ini.

Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman dalam kenyataan sama memuji keprihatian MyIPO menyalurkan sumbangan yang amat besar untuk menyediakan rumah ibadat yang selesa buat warga KVERTS.

Menurut beliau, bayaran zakat melayakkan mereka mendapat pengembalian semula wang zakat atau Skim Wakalah untuk dimanfaatkan kepada yang memerlukan dan salah satu daripadanya dengan pembinaan surau berkenaan.

Pengerusi MyIPO, Datuk Seri Razali Ibrahim pula berkata, pembinaan surau itu diharap akan memberi keselesaan kepada kakitangan, guru serta pelajar kolej berkenaan untuk melakukan ibadat serta aktiviti kerohanian.

“MyIPO berasa amat berbesar hati kerana menjadi penyumbang utama pembinaan surau ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI