fbpx

Lelaki didenda RM3,100, mengaku lempar air kencing ke rumah jiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh didenda RM3,100 selepas mengaku melempar bungkusan air kencing dan bekas minyak hitam ke rumah jirannya.

MELAKA – Perbuatan seorang penganggur melempar bungkusan air kencing dan bekas minyak hitam ke rumah jirannya kerana tidak berpuas hati berkaitan isu bermain bola mengundang padah apabila didenda RM3,100 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd. Nazri Nazaruddin, 41 yang mengaku bersalah sebaik sahaja dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah berkelakuan menghinakan dengan cara melemparkan satu bungkusan cecair yang dipercayai mengandungi air kencing ke arah rumah milik Hashidah Hassan, 46, dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanannya.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 9 pagi di KM5 Bukit Baru dalam daerah Melaka Tengah pada 18 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukan hukuman denda sehingga RM100, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati melakukan khianat terhadap rumah sama dengan cara membaling satu bekas minyak hitam berniat menyebabkan kerosakan kepada harta dengan nilai RM150 iaitu melebihi RM25 pada pukul 11.40 pagi, pada 7 Disember lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, tertuduh melakukan perbuatan itu susulan tidak berpuas hati mengenai isu bermain bola di kejiranan tersebut.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman ringan dapat diberikan dengan alasan tindakan itu didorong oleh perasaan marah ketika kejadian.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM100 atau lima hari penjara jika gagal bayar bagi pertuduhan pertama dan RM3,000 atau dua bulan penjara jika gagal bayar bagi pertuduhan kedua. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI