fbpx

Ibu, kekasih didakwa abai bayi jatuh kandang kambing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Indran diiringi anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

MELAKA – Seorang ibu tunggal dan kekasihnya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mendedahkan bayi lelaki berusia dua tahun kepada bahaya sehingga maut pada tahun lalu.

Tertuduh, R. Vasanthi, 21, dan kekasihnya, L. Indran, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di mahkamah berasingan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam dan Mohd. Sabri Ismail.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka dia didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan seorang kanak-kanak lelaki (kelahiran tidak didaftarkan) berusia dua tahun telah mendedahkan kanak-kanak itu kepada bahaya.

Akibat itu mangsa mengalami kecederaan fizikal di bahagian dada, belakang badan dan kedua-dua belah kaki.

Tindakan itu dilakukan antara pukul 4 petang hingga 6 petang di Kampung India dalam daerah Jasin pada 11 November 2021.

Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Difahamkan, pasangan itu telah mendedahkan kanak-kanak itu kepada bahaya sehingga menyebabkannya terjatuh ke dalam kandang kambing di tempat kejadian.

Terdahulu, pendakwaan terhadap Vasanthi yang dikendalikan Timbalan Pendakwa N. Sivashangari mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan mengambil kira mangsa, yang juga anak tertuduh telah meninggal dunia selepas seminggu dirawat di hospital.

Wanita itu yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar jaminan dikurangkan dengan alasan baharu sahaja melahirkan anak pada 10 November lalu dan bergantung harap pada pendapatan teman lelakinya yang bekerja sebagai pengembala kambing.

Darmafikri kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 25 Januari depan sebagai serahan dokumen dan lantikan peguam.

Di hadapan Mohd. Sabri pula, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim mencadangkan jumlah jaminan RM30,000 terhadap Indran juga dengan mengambil kira kesalahan dilakukan telah mengakibatkan kematian anak kekasihnya itu.

Mahkamah kemudian bersetuju dengan jaminan sebanyak RM15,000 dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 16 Januari depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI